})();

nuffnang

30 March 2016

Malaysia vs Macau Kacau

Perlawanan Persahabatan Malaysia vs Macau memalukan

Malaysia mengikut ranking dunia berada pada kedudukan 166 dan Macau pada kedudukan 195 dunia, namun apa yang berlaku amat memalukan dengan keputusan 0-0 di stadium Hang Jebat malam tadi.

Gagal manfaatkan bermain ditempat sendiri dan gagal mencatatkan kemenangan keatas pasukan kerdil dalam aksi persahabatan semalam pastinya memberi tamparan hebat dan persepsi negatif terhadap skuad Harimau Malaysia.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee ternyata gagal bangkit untuk mengatasi Macau yang dianggap sebagai pasukan belasahan sebelum perlawanan dimulakan. Namun selepas wisel sepak mula dibunyikan ternyata segalanya umpama mimpi ngeri penyokong Harimau Malaysia yang tidak mampu menjaringkan sebarang gol walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai pasukan negara.

Rombakan besar-besaran yang dilakukan Kim Swee juga amat mengejutkan kerana enam pemain yang mewakili Malaysia ketika tewas 0-2 kepada Arab Saudi tidak diturunkan.

Amri Yahyah dilantikan sebagai kapten Harimau Malaysia apabila Shafiq Rahim tidak dapat beraksi akibat kecederaan manakala gandinganya bersama Nazmi Faiz Mansor yang tampil buat julung kalinya bersama skuad senior sejak 2013 dan Baddrol Bakhtiar dibahagian tengah.

Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) Izham Tarmizi  Roslan menggalas tugas sebagai penjaga gol Malaysia menggantikan Khairul Fahmi kurang diuji pasukan pelawat manakala Nazirul Naim Che Hashim yang dipanggil saat terakhir terpaksa digantikan dengan Yong Kuong Yong pada minit ke-26 akibat cedera.

Sejarah lepas menyaksikan Malaysia dengan mudah membelasah Macau 9-0 di Stadium Merdeka dan 5-0 ditempat lawan.Harimau Malaysia hanya mampu mencipta dua percubaan merbahaya menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-25 yang berjaya diselamatkan penjaga gawang Ho Man Fai manakala rembatan kencang sayap kanan Nazrin Nawi pada minit ke-37 sekadar menggegarkan palang Macau.

Datuk Ong Kim Swee membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Nazmi Faiz Matthew Davies untuk memberi ruang kepada Hafiz Kamal dan Wan Zack Haikal beraksi.

Walaupun pertukaran telah dilakukan Malaysia masih buntu mencari gol apabila tandukan Amri Yahyah pada minit ke-83 tersasar dan berjaya diselamatkan Man Fai. Penyerang Malaysia ketandusan idea untuk menjaringkan gol.

Perlawanan berkesudahan dengan seri 0-0. Kumpulan Ultras Malaysia yang hadir dengan ratusan orang mula menyanyikan lagu sindiran terhadap FAM, " Oooooo FAM apa sudah jadi, bila nak letak jawatan".

Selepas tamat permainan semasa wawancara dengan pemberita, Datuk Ong Kim Swee memaklumkan yang beliau sememangnya tidak berpuas hati dengan mutu persembahan yang di pamerkan oleh anak-anak buahnya dan ini tidak boleh diterima. Namun beliau mengatakan yang skuad negara amat keletihan akibat kurang cukup rehat disebabkan perlawanan yang diadakan terlalu padat dan pemain Malaysia yang mewakili JDT yang paling ketara kurangnya rehat.

Bagi saya sebagai penulis artikel ini, setiap kali Malaysia kalah akan ada sahaja alasan yang diberikan . Ini sudah kerap berlaku, kami rakyat Malaysia sudah bosan.

Pemain Macau hanyalah pemain semi-pro dan kebanyakan mereka adalah penjawat awam yang menjadikan bolasepak sebagai."Partime" sahaja. Tak kan itu pun tak faham sedangkan pemain Malaysia dibayar gaji ribuan ringgit namun tahap permainan tetap tidak berubah.

Apa pun kita tunggu ulasan Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Abdullah.

No comments:

Post a Comment