})();

nuffnang

24 May 2016

Penyokong Terengganu Bidas FMLLP

FMLLP Nafi Pindaan Jadual Perlawanan Saat Akhir


Penyokong skuad Penyu melahirkan rasa kekecewaan kepada FMLLP yang didakwa meminda jadual perlawanan Sarawak menentang Terengganu di saat-saat akhir.

Mereka tidak berpuas hati kerana ada diantaranya yang sudah pun menempah tiket kapal terbang, ada yang sanggup menjual mafla dan kasut semata-mata untuk membeli tiket kapal terbang bagi membayar harga tiket untuk memberi sokongan buat skuad penyu itu.

"Ada yang sanggup jual mafla kesayangan dan kasut mereka semata-mata untuk menyokong Terengganu tapi FMLLP suka-suka saja ubah jadual pasukan dan menyebabkan duit kami hangus."

Itulah luahan kekecewaan segelintir penyokong setia skuad Penyu yang mempersoalkan tindakan FMLLP mengubah jadual aksi Liga Super kurang sebulan daripada tarikh asal perlawanan.

Menurut wakil Kelab Penyokong Gerila Timur, Radhie Abdullah Din, perlawanan antara Sarawak menentang Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Sarawak rabu ini telah ditunda oleh FMLLP ke tarikh baru iaitu 3 Ogos depan.

Perubahan itu jelas mengundang ketidakpuasan hati penyokong Terengganu yang sudah pun membeli tiket berdasarkan pada jadual asal yang dikeluarkan pada awal musim dulu.

"Kami faham kalau perubahan jadual disebabkan perkara yang tidak dapat dielakan seperti bencana alam atau kecemasan. Tapi perubahan jadual terbaru adalah kerana kelemahan dalam pengurusan.
"Kami bukanlah orang yang senang dan mampu membeli tiket begitu sahaja tetapi atas dasar sayangkan Terengganu kami sanggup bergolak bergadai untuk menyokong pasukan di mana sahaja mereka bermain.

"Tiket penerbangan sahaja hampir RM200 seorang untuk dua hala. Kalau tak salah saya hampir 50 orang dan ini bermakna hampir RM10,000. Siapa nak bertanggungjawab dan nak bayar ganti rugi," katanya kepada wartawan.

Beliau menambah lagi, sekiranya penundaan itu untuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan menghadapi aksi play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 awal bulan depan, sepatutnya FMLLP harus lebih peka sebelum mengeluarkan jadual pada awal musim.

"Biasanya FIFA atau AFC akan mengeluarkan jadual perlawanan antarabangsa awal-awal lagi, jadi mengapa tidak mengosongkan jadual Liga Super berdasarkan jadual aksi antarabangsa.

"Saya faham mungkin mereka tidak menjangka yang skuad kebangsaan akan beraksi pada play-off dan sepatutnya semua ini mesti ada plan B dan bukannya menunda pada saat akhir," katanya.

Sementara itu Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP menafikan pindaan jadual di buat dalam keadaan tergesa-gesa dan jadual itu sebenarnya telah diubah sejak sebulan yang lalu dan sudah dimaklumkan kepada Persatuan Negeri (FA) dan kelab.

"Saya nafikan kami (FMLLP) menukar jadual sesuka hati malah keputusan itu dibuat April lalu. Tindakan menunda aksi Liga Super adalah atas permintaan Datuk Ong Kim Swee yang mahu menyediakan skuad kebangsaan lebih awal sebelum bertemu Timor Leste," katanya.



No comments:

Post a Comment