Perlawanan Yang di Nanti Seluruh Warga Pulau Pinang dan Johor Darul Ta'zim
Pulau Pinang selaku pasukan underdog akan berkunjung ke Larkin untuk perlawanan kesepuluh dalam saingan Liga Super malam nanti. Berbekalkan semangat yang kental Pulau Pinang tidak sama sekali akan menyerah sebelum berjuang, biar pun dianggap pasukan belasahan namun perjuangan malam nanti belum lagi menentukan siapa pemenangnya.
Kalau diatas kertas pastinya sang Harimau Selatan lebih gagah berbanding Harimau Kumbang namun diatas padang segalanya mungkin apa sahaja boleh berlaku. Lihatlah sejarah kunjungan Pulau Pinang ke kedah bulan lepas yang menyaksikan Kedah tak mampu menewaskan Pulau Pinang walaupun pada awalnya pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe hanya menurunkan pemain simpanan namun mulai kelam-kabut apabila Pulau Pinang mempamerkan aksi berbisa yang memaksa Kedah terpaksa menurunkan pemain import bagi mengekang asakkan pemain Pulau Pinang.
Tidak mustahil juga ini bakal berlaku di Larkin malam nanti kerana dikhabarkan Mario Gomez akan merehatkan kesemua pemain import dan hanya menurunkan barisan pasukan simpanan bagi melayan kunjungan Pulau Pinang nanti.
Dua tonggak utama yang sudah pasti tidak diturunkan adalah kapten Safiq Rahim kerana digantung satu perlawanan dan Gomez tidak mahu mengambil risiko menurunkan bek kanan S Kunalan yang baru pulih dari kecederaan.
Gomez juga menegaskan yang Amirulhadi Zainal akan beraksi di posisi tengah mengisi kekosongan Safiq dan bergandingan bersama Hariss Harun manakala Azinee Taib dan Azamuddin Akil beraksi di posisi sayap kiri dan kanan.
"Kita akan mengubah corak taktikal untuk memburu kemenangan kerana mahu mengekori rapat Felda United yang berada ditangga teratas dan saya optimis kesebelasan pemain mampu mengimbangi kekuatan Pulau Pinang.
"Kecederaan yang dialami S Kunalan sudah pulih namun saya hanya akan menggunakan khidmatnya pada final Piala FA nanti di Shah Alam 14 Mei ini. Saya juga mengingatkan pemain agar tidak melakukan kekasaran kerana boleh mengundangkan kad merah.
"Tempat Kunalan akan digantikan Jasazrin Jamaluddin dan saya berpuas hati dengan corak permainannya ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA 30 April lalu," kata Gomez.
Azinee Taib juga dilihat dapat membantu skuad JDT kerana dia merupakan bekas pemain skuad Harimau Kumbang itu dan pastinya amat berguna buat mereka merencanakan strategi ampuh ke kubu Pulau Pinang.
Bagi Gomez, maklumat yang disampaikan Azinee memberi ruang kepadanya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Pulau Pinang namun Johor DT harus berwaspada cara dan corak berbeza yang bakal di tampilkan pasukan lawan.
"Seperti perlawanan yang pernah kita harungi, mana-mana pasukan akan beraksi lebih 100 peratus dan saya juga menjangkakan Pulau Pinang juga akan tampil dengan corak permainan yang luar biasa," ujar Gomez.
Admin selaku penyokong Skuad Pulau Pinang berharap dan berdoa agar sesuatu kejutan mampu dilakukan anak-anak buah Manzoor Azwira nanti....
No comments:
Post a Comment