Di Bawah Kendalian Nenad Bacina Dan Bojan Hodak Skuad Harimau Kumbang Mula Tunjuk Taring
Kemenangan 3-2 ke atas Kedah dalam perlawanan disifatkan ‘Northern Derby’ oleh peminat bola sepak Pulau Pinang dilihat mampu jadi titik tolak perjuangan pasukan untuk terus mendaki carta Liga Super. Setelah sekian lama tersadai di dasar liga, kemenangan itu juga pertama kali buat skuad Harimau Kumbang di laman sendiri sejak 16 Februari lalu, kali terakhir menumpaskan Pahang, 4-1.
Paling mustahak, kejayaan berkenaan meletakkan Pulau Pinang bukan lagi pasukan tercorot Liga Super dan berada di tempat ke-10 buat seketika. Bagi pengendali, Nenad Bacina, dia memuji persembahan pemain-pemain yang kekal tenang walaupun Kedah terlebih dahulu memimpin perlawanan.
“Saya cukup gembira kerana pemain kekalkan corak permainan biarpun lawan terlebih dahulu di depan dan berdisiplin ikuti taktikal yang saya serapkan. Walaupun begitu, perjalanan kita masih terlalu jauh dan ini hanya satu langkah ke arah kita cuba kekal dalam saingan Liga Super musim depan. Masih banyak kelemahan kita kena perbaiki dalam hadapi aksi akan datang terutama pada separuh masa kedua,” katanya.
Liridon Krasniqi senyapkan seketika Bandaraya pada minit ke-14 bila menyempurnakan peluang menerusi sepakan percuma. Namun bintang pujaan baharu Pulau Pinang, Jeong Seok-Min gamatkan suasana di stadium apabila meledak dua gol pada minit 25 dan 36.
Ketua pasukan, Matias Cordoba memastikan Pulau Pinang makin kukuh di depan sebaik babak kedua bermula dan Thiago Augusto sekadar merapatkan jurang buat Kedah di minit 86 melalui sepakan penalti. Pelawat juga terpaksa menamatkan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain apabila Liridon dilayangkan kad merah pada minit 83.
Sementara itu, Bacina turut berkongsi bahawa penyerang import, Ranti Martins, masih tidak mampu memperagakan aksi terbaik kerana belum pulih daripada masalah kecederaan. Minta penyokong jangan terlalu pantas mengkritik, Martins sudah lakukan apa yang terdaya serta bermain dalam keadaan menahan sakit.
“Ramai tidak tahu dia ada alami kecederaan pada pertemuan sulung dan dia masih berdegil mahu bermain. Malahan, dia teruk dibentes oleh pemain lawan di bahagian tendon pada perlawanan hari ini namun dia tetap mahu beraksi. Dalam hal ini, saya ucapkan terima kasih padanya kerana sudi berkorban kepada pasukan. Perlu diingatkan, bola sepak bukan berkisar tentang soal individu, ia bukan soal Martins atau Seok-Min namun kesemua pemain di dalam atau di luar padang,” katanya.
No comments:
Post a Comment