KUALA LUMPUR 18 Jan. - Tentera Darat sedang melakukan siasatan berhubung isu kehadiran pasukan Rejimen 21 Grup Gerak Khas ketika perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh membuat kenyataan atau keputusan awal tentang perkara itu tanpa sebarang maklumat lengkap mengenainya.
"Tentera Darat sedang siasat, jadi tunggulah kemudian, kita akan beritahu nanti. Saya tidak boleh terus memberikan kenyataan tanpa maklumat terperinci tentang apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.
"Kita akan cuba melaksanakan siasatan berhubung isu tersebut secepat mungkin," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Plak Ahli Kehormat Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) kepada Panglima Tentera Darat di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkiple Kassim, Panglima 21 Grup Gerak Khas Komando (GGK), Brigedier Jeneral Effendi Abd. Karim dan Presiden KVKM, Leftenan Kolonel Nik Omar Al Haded Nik Mohd. Salleh.
Selepas perlawanan antara Johor Darul Takzim dengan Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu, peminat Kelantan meluahkan rasa kurang senang terhadap kehadiran sekumpulan pasukan tentera yang pada mulanya didakwa sebagai askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Tunku Ismail memberitahu, kehadiran pasukan itu adalah sebagai persediaan sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan antara Johor Darul Takzim menentang Kelantan.
Dalam pada itu, mengulas penganugerahan Plaka Ahli Kehormat KVKM, Zulkifli memberitahu bahawa beliau sangat bangga dan berbesar hati menerimanya.
Katanya, hubungan baik antara Tentera Darat dengan KVKM menjadi platform kepada ketumbukan itu memperoleh pendapat, memandangkan pengalaman luas dimiliki ahli-ahli kelab berkenaan yang terlebih dahulu berkhidmat sebelum mereka.
"KVKM adalah ejen Tentera Darat untuk menerangkan kepada rakyat tentang apa sebenarnya keupayaan Grup Gerak Khas yang kita miliki. Saya juga yakin dengan perkongsian pengalaman yang dipunyai mereka dapat membantu meningkatkan profesionalisme anggota sedia ada," jelasnya.- Utusan
No comments:
Post a Comment