})();

nuffnang

19 January 2013

ATM Hampir Tumpaskan Johor Darul Takzim




JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mencatatkan keputusan seri 2-2 pada pertemuan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini semalam.


Perlawanan penuh dramatik itu turut disaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mencemar duli hadir ke stadium bersama-sama lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan untuk memberikan sokongan.


The Gladiators membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Amiridzwan Taj selepas berjaya menyambar bola hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya untuk menewaskan penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat.


Kegagalan pasukan pelawat mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan mengundang padah buat mereka apabila Daniel Guiza pantas menyambar peluang itu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-17 hasil sepakan lambung yang berjaya mengelirukan penjaga gol, Farizal Harun.


Irwan Fadzly Idrus kembali meletakkan skuad kendalian B. Sathianathan mendahului pada minit ke-39 menerusi sepakan percuma.
Seminit kemudian Norshahrul Idlan Talaha menyamakan semula kedudukan hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya.


Penyerang sensasi negara, Safee Sali hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-50, namun tandukannya di dalam kotak penalti hasil hantaran Guiza melepasi palang gol.


Skuad kendalian Fandi Ahmad memiliki peluang berharga untuk mencipta gol kemenangan pada minit ke-70 tetapi sepakan voli Guiza tersasar jauh dan rembatan deras Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak yang menggantikan Safee Sali pada minit ke-71 sekadar terkena tiang gol.


Ketika perlawanan berbaki lapan minit, ATM terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Fitri Omar diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran terhadap Mohd. Zaquan Adha - Utusan