})();

nuffnang

21 January 2013

Chong Wei Luar Biasa




KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei mempamer aksi yang disifatkan Sony Dwi Kuncoro sebagai luar biasa ketika dia memahat sejarah Siri Super Terbuka Malaysia dengan merangkul kejuaraan kesembilan, semalam.
'Superhero' badminton Malaysia, Chong Wei tidak mampu ditawan oleh Sony, naib juara dunia 2007 apabila menang mudah 21-7, 21-8 hanya dalam masa 33 minit.


Kemenangan Chong Wei mengubati kekecewaan ribuan penonton yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil selepas terdahulu pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal memenuhi pengharapan apabila tewas 13-21, 18-21 kepada gandingan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christina Pedersen.
Kemenangan semalam membolehkan Chong Wei mengatasi rekod lapan kejuaraan yang dikongsi bersama legenda badminton negara, Wong Peng Soon.


"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepada pasukan negara hari ini. Walaupun kita gagal menang gelaran beregu campuran, saya gembira dapat menghadiahkan kejuaraan kesembilan.


"Hari ini saya bermain dengan baik dan Sony mungkin keletihan kerana mengharungi perlawanan sengit ketika menewaskan (Kenichi) Tago (separuh akhir).


Chong Wei, yang turut muncul juara 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2005 dan 2004 mengakui, dia masih bersemangat untuk memburu kejuaraan ke-10 tahun depan namun sedar, cabaran yang bakal diharungi tidak lagi mudah, apatah lagi dengan usia yang menginjak 31 tahun, Oktober ini.


Menurutnya, tanggungjawabnya kini lebih besar kerana sudah berkeluarga dan bakal bergelar bapa tahun ini.
"Saya akan jadi bapa tahun ini dan saya sudah berkeluarga, jadi tidak mudah untuk membahagikan masa dengan kedua-dua perkara (karier dan keluarga) tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengimbanginya.



"Saya bernasib baik isteri saya (Wong Mew Choo) bekas pemain badminton, jadi dia memahami karier saya. Saya sangat gembira kerana akan menjadi bapa ketika usia 31 tahun, saya tidak muda lagi
"Ibu saya orang paling gembira. Hari-hari dia tersenyum selepas saya kahwi, dan sudah tentu saya juga gembira melihatnya. Berkeluarga memang tanggungjawab besar tetapi ia juga menceriakan hidup saya dan menjadikan saya lebih bersemangat," kata Chong Wei.


Chong Wei yang membawa pulang AS$30,000 (RM93,000) selaku juara Terbuka Malaysia akan berdepan ujian lebih getir pada All England, 5-10 Mac ini, di mana seteru utamanya, Lin Dan dan jaguh No. 2 dunia, Chen Long dari China menjadi penghalang.


Sementara itu Sony mengakui, Chong Wei jauh mengatasinya dalam semua aspek menyebabkan dia tiada jawapan sepanjang perlawanan. Pemain No. 5 dunia itu menegaskan, dia tidak mahu memberi alasan lain, kecuali memuji kehebatan jaguh negara itu.


"Chong Wei jauh mengatasi saya dalam semua segi, apa lagi yang hendak saya katakan. Hari ini dia sangat luar biasa, permainannya amat bagus dan saya bukan tandingannya," kata Sony.- Utusan

No comments:

Post a Comment