})();

nuffnang

31 January 2013

FAS, ATM Belum Serah Laporan Insiden


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima laporan rasmi daripada Persatuan Bola Selangor (FAS) dan ATM mengenai insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan dalam perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, pihaknya masih menunggu aduan rasmi daripada kedua-dua pasukan sebelum perkara itu diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Taufik Abdul Razak.

Dalam masa sama, beliau juga menjelaskan FAM memandang serius akan isu pergaduhan itu selepas turut mendapat laporan daripada pesuruhjaya perlawanan yang mengendalikan pertemuan Selangor dan ATM.
"Laporan rasmi daripada pesuruhjaya perlawanan telah diterima oleh FAM, namun aduan dari pasukan Selangor dan ATM masih belum ada walaupun dalam beberapa akhbar ada menyatakan mereka sudah menghantar aduan kepada FAM.

"Kelewatan itu mungkin berpunca daripada banyak cuti umum dalam beberapa hari ini dan jika sudah diterima, kes itu akan diteliti dengan sewajarnya oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab, " katanya yang ditemui di majlis pelancaran program Mencari Ramli 2 anjuran Telekom Malaysia (TM) di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Selangor dan ATM yang berlangsung 25 Januari lalu mencetuskan drama di penghujung perlawanan apabila kedua-dua pasukan bergaduh.

Selangor menyatakan Shukor Adan menjadi kepada permulaan kepada pergaduhan terbabit manakala ATM melihat Afiq Azmi memulakan provokasi dengan membuat tindakan yang tidak sewajarnya.

Selain itu, Azzuddin mengakui FAM memandang serius mengenai mutu pengadilan yang semakin dipertikaikan dan banyak membuat keputusan yang dianggap cukup kontroversi seperti pertembungan Selangor dan ATM.

Bagi memperbaiki agar tidak timbul isu yang sama pada perlawanan akan datang, satu program akan diadakan di kalangan pengadil pada pertengahan bulan Februari ini untuk membincangkan masalah-masalah yang berlaku sepanjang mengendalikan perlawanan liga.

"Ya... Saya ambil berat mengenai isu ini dan jawapan mengatasinya memang ada iaitu FAM akan anjurkan program yang berbentuk kursus ulang kaji di kalangan pengadil dan melihat kembali persembahan mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini, " katanya.

Namun, beliau berkata, pengadil-pengadil yang membuat kesilapan yang tidak sepatutnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini belum tentu boleh terlepas daripada sebarang tindakan kerana mereka masih termaktub di bawah pemantauan Jawatankuasa Pengadil FAM.

"Walaupun sedar pengadil juga manusia yang tidak boleh lari kesilapan tetapi mereka tidak boleh terlepas begitu sahaja dengan kesilapan yang mereka lakukan biarpun secara tidak sengaja.

"Tindakan itu pasti ada namun ia di luar di bidang kuasa saya untuk menyatakan di sini apakah bentuk hukuman yang akan dikenakan," katanya.- Utusan.

No comments:

Post a Comment