MADRID - Barcelona mencipta rekod baru iaitu permulaan musim terbaik dalam La Liga kelmarin apabila
menang 3-1 di Malaga untuk kekal 11 mata mengatasi Atletico Madrid dan 18 mata meninggalkan Real Madrid.
Pemenang Ballon d'Or, Messi menjaringkan gol kesembilan berturut-turut dan melakukan hantaran untuk Cesc Fabregas serta Thiago Alcantara menjaringkan gol kedua dan ketiga.
Messi menjaringkan 28 gol La Liga setakat ini.
Barcelona mengumpul 55 mata daripada 19 perlawanan dengan rekod 18 kemenangan dan sekali seri iaitu 2-2 di laman sendiri dengan Real Madrid Oktober lalu.
Ia memecah rekod sebelum ini untuk separuh musim liga di mana mereka mengumpul 52 mata pada musim 2010-2011.
"Kami sangat gembira kerana mengumpul 55 daripada 57 mata namun secara logiknya adalah sukar untuk mengulanginya dengan kemenangan Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol.
"Atletico 11 mata di belakang kami dan kami akan bertandang di padang mereka dan Real Madrid, jadi kami tidak boleh berhenti setakat ini, kami harus meneruskan prestasi ini," kata jurulatih Barca, Tito Vilanova. - Utusan
No comments:
Post a Comment