Terengganu Terpaksa Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Liga Super Selepas Tewas 0-1
Pulau Pinang yang menerima kunjungan Terengganu malam tadi di Stadium Bandaraya menarik nafas lega selepas berjaya menewaskan sang penyu dengan jaringan tipis 1-0.
Manakala Terengganu pula sebelum perlawanan menyatakan yang mereka akan bermain bermatian-matian untuk terus kekal dalam saingan liga super musim depan. Namun segalanya serba tidak menjadi dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga super kerana mereka turun ke kancah liga perdana musim depan.
Keputusan itu sudah pasti terlalu pahit untuk diterima Terengganu apabila mereka mengiringi PDRM diturunkan pangkat ke Liga Perdana.
Bagi skuad Harimau Kumbang pula, mereka seharusnya berterima kasih kepada Faizat Ghazli yang meledak gol tunggal perlawanan berbaki 3 minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Terengganu mendapat peluang terbaik menerusi Issey Nakajima pada minit ke-45, namun rembatan derasnya terlalu tinggi melewati palang gol.
Pemain import Jeong Seok-Min pula hampir meletakkan Pulau Pinang di depan pada minit ke-59, bagaimanapun percubaannya sekadar menggegarkan palang gol sehinggalah Faizat muncul wira Pulau Pinang yang mendapat bola hantaran Jafri Chew dan berjaya meledakkan gol pada minit ke-87.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Kumbang berjaya mengumpul 22 mata dan hanya satu mata mengatasi PDRM di tangga ke-11, manakala Terengganu kekal di kedudukan tercorot dengan 19 mata.
No comments:
Post a Comment