})();

nuffnang

08 November 2012

Velencia - Tiada Tekanan - Zulfahmi




KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bakal turun ke litar tanpa sebarang tekanan menjelang perlumbaan terakhir pada Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol hujung minggu ini.
Pencapaian cemerlang musim ini setelah berjaya muncul pelumba Malaysia pertama menaiki podium pada kejuaraan dunia di GP Malaysia, 21 Oktober lalu dan melepasi sasaran mengumpul 112 mata, membolehkan anak muda berusia 21 tahun itu menarik nafas lega.
Zulfahmi berkata: "Pada awal musim, tiada sasaran podium diletakkan, begitu juga dengan sasaran 100 mata. Saya cuma mahu memberikan yang terbaik, beraksi konsisten dan berusaha menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik.
"Namun, dengan keputusan yang telah berjaya dicapai setakat ini, saya sebenarnya tidak menduga sasaran yang diletakkan mengatasi daripada jangkaan dan pencapaian ini bagi saya amat bagus."


Menurut Zulfahmi, kali ini, dia mahu menikmati perlumbaan terakhir di Sepanyol dengan hati yang lapang tanpa sebarang tekanan mengiringinya.


"Jadi, saya mahu bersaing pada pusingan terakhir ini di Valencia tanpa sebarang tekanan dan saya mahu merasakan keseronokan berlumba.

"Bagaimanapun, saya tetap mahu memberikan yang terbaik dan mendapatkan keputusan yang bagus. Semua itu tidak akan berubah di Valencia, saya tetap akan memberikan saingan sengit kepada pesaing-pesaing lain," kata pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu.
Anak muda kelahiran Banting, Selangor itu kini menghuni tangga kelapan dalam senarai pelumba Moto3 dunia dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pelumba Portugal, Miguel Oliveira yang mengumpul 114 mata untuk menghuni tempat ketujuh.


Sandro Cortese dari Jerman telah pun dinobatkan sebagai juara dunia Moto3 di GP Malaysia yang lalu, cuma menjelang saingan di Valencia, penentuan naib juara bakal menjadi rebutan dua pelumba Sepanyol iaitu Luis Salom dan Maverick Vinales yang masing-masing mengutip 208 serta 199 mata.


Pada perlumbaan di Phillip Island, Australia, dua minggu lalu, Zulfahmi berdepan dengan masalah teknikal pada jenteranya sehingga memaksa dia tidak menamatkan saingan.


"Untuk perlumbaan terakhir ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran, cuma mahu memberikan yang terbaik, itu sahaja. Harap semuanya berjalan lancar untuk diri saya dan juga pasukan," jelas Zulfahmi yang menerima tawaran mewakili pasukan juara dunia, Red Bull KTM Racing pada musim depan. - Utusan.

No comments:

Post a Comment