})();

nuffnang

05 November 2012

Defender Cemerlang, Striker Kantoi




LONDON - Bahagian pertahanan Manchester City berjaya memperbaiki masalah kerap dibolosi lawan, namun kebimbangan Roberto Mancini kini beralih kepada bahagian serangan selepas kecewa seri tanpa jaringan dengan West Ham United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam.


Juara bertahan itu menguasai perlawanan selepas bermula perlahan pada aksi di Upton Park namun pemain harus menyalahkan diri sendiri kerana mempersia-siakan peluang gol yang menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mengiring Manchester United pada tangga teratas liga.


Mario Balotelli, Carlos Tevez dan Gareth Barry kesemuanya gagal menyempurnakan peluang gol untuk City.
Malang buat West Ham apabila jaringan Kevin Nolan gagal disahkan oleh pengadil.

"Apabila anda menguasai 65 peratus perlawanan dan mempunyai empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol, anda sepatutnya layak menang.


"Walau apa pun saya gembira dengan prestasi pasukan kerana kami beraksi dengan baik, cuma saya tidak gembira kerana pemain melepaskan banyak peluang gol.


"Saya tidak rasa ini keputusan yang adil. Ia langsung tidak adil.
"Kami melepaskan begitu banyak gol ketika permulaan musim. Kami mempertingkatkan bahagian pertahanan namun kami perlu mula menjaringkan lebih banyak gol seperti mana musim lalu," kata Mancini.


City cuma dibolosi dua kali dalam lima perlawanan terakhir liga, berbeza dengan tujuh gol yang dilepaskan dalam lima perlawanan awal.

Namun, City berdepan masalah jentera depan yang sukar menembusi kubu lawan.

Ia merupakan pertama kali sejak April lalu City gagal menjaringkan gol dalam perlawanan liga walaupun Mancini menurunkan Balotelli, Tevez dan Edin Dzeko dan memasukkan Sergio Aguero pada babak akhir dalam usaha memburu kemenangan.


"Kami berterusan melepaskan banyak peluang gol dalam setiap perlawanan.


"Ia berulang ketika menentang Swansea, kami melepaskan tiga atau empat peluang gol pada babak kedua.


"Kami mencipta banyak peluang gol dan kami menurunkan tiga pemain penyerang, kami mencuba segala-galanya untuk menang, namun kadang kala inilah yang berlaku dalam perlawanan.
"Namun dalam bola sepak jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak akan menang, inilah bola sepak," katanya. - REUTERS.

No comments:

Post a Comment