})();

nuffnang

12 November 2012

Rajagopal Umum Skuad Sehari Sebelum Piala Suzuki


BANGI - Datuk K. Rajagobal hanya akan mengumumkan senarai penuh 22 pemain skuad ke Piala Suzuki AFF 2012 sehari sebelum kejohanan tersebut bermula.

Tindakan itu dibuat kerana mahu menilai pemainnya buat kali terakhir selepas perlawanan persahabatan menentang Bangladesh Selasa depan (20 November).

"Amat sukar untuk memilih skuad 22 pemain bagi kejohanan ini. Saya mahu memilih pemain yang mempunyai kelebihan untuk bermain lebih daripada satu atau dua posisi, kalau boleh menentang Bangladesh nanti kita mampu untuk mencipta momentum kemenangan.


"Itulah sebabnya saya memerlukan dua lagi perlawanan persahabatan sebelum kempen bermula, dalam masa yang sama kita juga akan meninjau persiapan pasukan Singapura dan Indonesia dalam perlawanan persahabatan yang mereka lalui," katanya.


Selain menentang Bangladesh (20 November), Harimau Malaya juga akan bertemu Hong Kong Rabu ini, sebelum memulakan kempen Piala Suzuki AFF menentang Singapura pada 25 November dalam saingan peringkat kumpulan.


Mengenai teguran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya jurulatih kebangsaan itu tidak menurunkan skuad eksperimen dalam aksi persahabatan, Rajagobal berkata, beliau tiada pilihan kerana pemain utama mengalami kecederaan dan demam.


"Saya terpaksa menggunakan pemain yang bukan dari skuad utama kerana mereka cedera dan tidak sihat.


"Tujuan saya menurunkan skuad eksperimen juga untuk melihat kombinasi pemain, ramai yang tidak faham dengan tindakan yang saya lakukan," katanya.


Beliau menghadiri ceramah motivasi kepada 50 anak Felda yang terpilih dalam Program Pendedahan ke Akademi Cardiff City di sini, semalam.


Semalam Tengku Abdullah menegur Rajagobal kerana kerap menurunkan skuad eksperimen dalam perlawanan persahabatan termasuk menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini.


Tengku Abdullah berkata, kekalahan dalam perlawanan persahabatan tersebut yang menimbulkan kebimbangan ramai termasuk FAM perlu diakhiri.


Menurut Rajagobal, beliau tidak ada tekanan dan sudah biasa dengan perkara seperti itu.


"Siapa yang memberi tekanan? Sebagai rakyat Malaysia kita kena sokong pasukan kebangsaan, pemain juga tahu bahawa mereka tidak ada tekanan," katanya. - Utusan

Harap berkesan nanti....