TAG - Liga Super 2021, Penang FC Champion ,EPL, Messi, Ronaldo,Covid-19
nuffnang
10 November 2012
KUALA LUMPUR - Prestasi hebat yang dilakar sepanjang musim ini, termasuk kejayaan memahat sejarah menaiki podium buat kali pertama membolehkan pelumba motosikal sensasi negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dinobat sebagai Pelumba Kelas Moto3 Paling Meningkat 2012.
Pengiktirafan kepada penunggang pasukan AirAsia SIC Ajo itu diberikan oleh www.motogp.com, laman web rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia.
Zulfahmi, 21, naik mendadak daripada kedudukan 18 keseluruhan ketika menunggang dalam kelas lama GP125cc musim lalu kepada kedudukan lapan pada kejuaraan Moto3 yang diperkenalkan tahun ini ketika kalendar 2012 hanya tinggal satu perlumbaan untuk ditamatkan.
"Saya sangat berbangga untuk menerima anugerah ini. Ia adalah satu pengiktirafan besar terhadap usaha keras saya tahun ini, dan dan ia pasti akan mendorong saya untuk bekerja lebih keras dalam mencapai matlamat menjadi pelumba kelas dunia.
"Anugerah ini sudah pasti akan memberi lebih keyakinan kepada saya untuk menghadapi musim depan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan KTM atas sokongan mereka ... Tanpa keraguan, sokongan mereka adalah faktor utama kepada kejayaan saya ini," kata Zulfahmi, yang memulakan cabaran Grand Dunia sebagai pelumba wildcard pada Grand Prix Malaysia 2009 dan menduduki tangga ke-20 ketika itu.
Dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan di Sepang, melayakkan Zulfahmi mendapat tiket beraksi pada perlumbaan terakhir musim di Grand Prix Valencia, pengalaman pertamanya berlumba di Eropah.
Malangnya, dia terkeluar daripada saingan, namun itu tidak mengurangkan keyakinan penaja - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia untuk memberi peluang kepada pelumba kelahiran Banting itu untuk beraksi dalam musim penuh pada tahun berikutnya.
Selepas mengharungi musim sulung yang mencabar dan mempelajari mengenai selok belok trek MotoGP di seluruh dunia sepanjang 2010, dia mula menunjukkan potensi besar pada musim kedua kejuaraan dunia GP125cc dengan turut mendapat sokongan pasukan Ongetta Racing yang berpengkalan di Itali.
Daripada kedudukan ke-24 dunia dan hanya mengutip empat mata dalam musim pertama, Zulfahmi, yang memiliki juara dunia, Ajo Racing sebagai rakan kongsi teknikal pasukan pada 2011, meningkat ke kedudukan ke-18 pada 2011 menerusi 30 mata.
Pada 2012, iaitu kali pertama kejuaraan dunia Moto3 diperkenalkan dengan menggunakan jentera 250cc, dia yang terus mendapat sokongan Ajo Racing dan menunggang motosikal KTM kian mempamer peningkatan, malah memulakan musim dengan menduduki tangga keenam - pencapaian terbaiknya.
Dia memperbaiki keputusan dengan menamatkan saingan di tangga keempat pada Pusingan 3 di Estoril, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai 10 pelumba teratas. Sejak itu, Zulfahmi sentiasa berada dalam kelompok kumpulan pendahulu, malah beberapa kali pernah meneraju perlumbaan, selain mencatat masa lapangan terpantas dan meraih baris hadapan.
Beraksi di depan penyokong sendiri pada Grand Prix Malaysia di Sepang, 21 Oktober lalu, Zulfahmi melakar sejarah sukan permotoran tanah air apabila menyambar petak pertama buat julung kali pada sambutan hari jadinya yang ke-21.
Dia kemudian muncul pelumba negara pertama menaiki podium dengan menamatkan saingan di tangga kedua pada keesokkan hari, hanya beberapa saat dipisahkan di belakang juara dunia, Sandro Cortese. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment