JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selain hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
"Keputusan ini saya buat kerana merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa sama sebagai TMJ, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.
"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mentadbir PBNJ sebagai penaung serta-merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai TMJ layak memegang jawatan penaung dalam PBNJ," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini , semalam.
Beliau berkata, dengan menjadi penaung, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta kelebihan bagi Tunku Ismail untuk mentadbir urus PBNJ termasuk aspek kewangan, kebajikan kakitangan dan pemain serta mampu membuat keputusan lebih tepat.
Jawatan Presiden PBNJ kini akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.
Tunku Ismail turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Johor yang selama ini bersusah payah memberi sokongan tidak berbelah agi kepada pasukan negeri ini.
"Sokongan padu anda semua amatlah saya hargai dan harap ia berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan bola sepak negeri ini boleh terus gah berdiri di persada bola sepak tanah air.
"Sokongan anda diharap dapat diteruskan di masa akan datang.
"Saya berharap anda semua tidak akan risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda sebagai TMJ dan sentiasa memantau serta mengikuti segala perjalanan aktiviti bola sepak negeri ini di peringkat akar umbi hingga ke peringkat global," katanya lagi - Utusan
No comments:
Post a Comment