})();

nuffnang

04 February 2013

Ronaldo Tambah Derita Real



MADRID - Cristiano Ronaldo buat pertama kali menjaringkan gol sendiri dalam kerjayanya yang sekali gus menjadi penyebab kekalahan 0-1 Real Madrid kepada kelab bawahan La Liga, Granada, semalam.

Kekalahan tersebut turut menambah derita Real yang semakin tipis untuk mempertahankan gelaran yang mereka menangi musim lalu.

Ronaldo yang telah meledakkan sebanyak 21 gol dalam aksi liga musim ini, menanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-22 dan pasukannya selepas itu gagal menghadirkan ancaman ke kubu lawan yang kebal.

Keputusan tersebut menyebabkan penyandang juara itu ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Barcelona, yang berpeluang melebarkan jurang kedudukan kepada 18 mata sekiranya mencatat kemenangan di Valencia.

Real mengumpul 43 mata daripada 22 perlawanan dah masih kekal ketinggalan empat mata di belakang pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid.

"Kami tidak bermain baik, tanggungjawab itu saya yang pikul. Keputusan tersebut memang mengganggu saya. Pada babak pertama memang teruk dan walaupun, kami berjaya meningkatkan kualiti permainan pada separuh masa kedua, ia masih tidak mencukupi.

"Granada berjaya bertahan dengan penuh semangat dan motivasi mereka juga cukup tinggi dan mereka bermain bola sepak dengan cukup hebat, semalam," kata jurulatih Real, Jose Mourinho pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol, Rabu lalu menentang Barca di tempat sendiri yang turut menyaksikan Real dipaksa berhempas pulas sebelum mengikat kedudukan seri 1-1, ternyata memberi kesan kepada skuad bimbingan Mourinho untuk meneruskan perjuangan mereka.

Kerja keras tuan rumah, yang mendapat sumber inspirasi berikutan perubahan jurulatih daripada Juan Antonio Anguela kepada Lucas Alcaraz, memanfaatkan peluang apabila Real menjaringkan gol sendiri.
Real tumpas dalam lima perlawanan musim ini, empat daripada perlawanan itu berlaku di Andalusia setelah tewas mengejut di Sevilla, Real Betis, Malaga dan Granada. Sementara satu lagi pertemuan, mereka kalah di Getafe.

Dalam pada itu, Levante melepaskan peluang untuk berada dalam kedudukan Liga Juara-Juara setelah tumpas 2-3 kepada Espanyol, sementara Deportivo La Coruna kekal di tangga tercorot apabila kalah 1-3 di Getafe.

Osasuna pula berjaya keluar daripada kedudukan tiga tercorot setelah melakar kemenangan 1-0 ke atas Celta Vigo di tempat sendiri. - Reuters - UTUSAN

No comments:

Post a Comment