})();

nuffnang

04 December 2016

Ganjaran Besar Menanti Faiz Subri

FAM Sedia Beri Imbuhan Atas Kerja Keras  Pemain Pulau Pinang Itu
Satu lagi berita gembira buat pemain berjersi 13, Mohd  Faiz Subri apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan untuk memberi ganjaran khas pada pemain Pulau Pinang itu yang kini tersenarai dalam tiga calon akhir untuk menerima anugerah Puskas 2016.
Datuk Seri Afandi Hamzah yang merupakan Timbalan Presiden FAM berkata, jaringan yang dikatakan 'melanggar hukum fizik' daripada Faiz itu bukan sahaja mengharumkan nama negara di persada antarabangsa malah ia menunjukkan kepada dunia bahawa anak tempatan juga memiliki keupayaan setanding pemain hebat dari benua lain.
Jelasnya, FAM bersedia untuk memberi ganjaran buat bintang Harimau Kumbang itu yang beliau percaya jaringan berkenaan terhasil dari kerja keras tonggak tengah terbabit.
" Mengenai ganjaran, kami bersedia membincangkan cadangan itu dalam mesyuarat akan datang kerana kejayaan Faiz bukannya hadir begitu mudah.
" Daripada beribu-ribu gol hinggalah 10 terbaik dan sekarang tiga terbaik, ini sudah cukup membuktikan pemain Malaysia juga mempunyai 'kelas' tersendiri dan ia harus diberi pujian dan penghargaan," katanya yang turut membayangkan untuk mengiringi Faiz ke majlis Anugerah Tahunan Bolasepak FIFA di Zurich, Switzerland, pada 9 Januari depan.
Daripada 10 gol terbaik yang disenaraikan FIFA pada undian pusingan pertama sebelum ini, Faiz dan dua lagi finalis lain iaitu Johnathan Marlone, pemain kelab Corinthiana dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela berjaya muncul tiga calon akhir untuk anugerah berkenaan.
Mereka akan melalui proses undian kedua yang bermula semalam sehingga tarikh tutup pada hari anugerah itu di Zurich, 9 Januari nanti. Peminat boleh membuat undian di laman sesawang  http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/index.html.
Menurut Datuk Seri Afandi lagi, beliau sudah menduga awal lagi jaringan ajaib Faiz itu mampu melepasi undian awal dan keyakinan itu semakin bertambah selepas mengetahui gol itu berjaya ke peringkat akhir.
"Dulu masa mula-mula FAM menghantar permohonan rasmi kepada FIFA, saya memang cukup yakin gol itu mampu disenaraikan dalam 10 terbaik kerana cara lencongan bola yang menghasilkan gol itu sememangnya cukup ajaib dan amat mengagumkan.
"Kini tahap keyakinan saya semakin bertambah apabila tersenarai dalam tiga terbaik dan saya percaya Faiz mempunyai peluang cerah untuk memenangi anugerah sekali gus melakar sejarah baharu kepada negara," katanya.
Berdasarkan teknik gol yang dihasilkan Pemain Pulau Pinang atau lebih dikenali dengan jolokkan "The Panthers" , Mohd Faiz Subri menerima reaksi positif peminat seluruh dunia, peluang untuk pemain berusia 29 tahun itu merampas gelaran daripada penyandang musim lalu Wendell Lira dari Brazil dilihat amat cerah.
Admin menyeru seluruh warga Malaysia yang minat atau tak minat sukan sama-sama kita memberi undi kepada Mohd Faiz Subri agar impian kita menjadi nyata untuk melihat seorang warga bola sepak negara akan mencatat sejarah dalam sukan bola sepak negara. Jom 30 juta rakyat Malaysia kita undi gol jaringan ajaib Faiz Subri.

No comments:

Post a Comment