})();

nuffnang

09 September 2014

Kelayakan Euro 2016 lebih mudah

BERNE - Dua kemenangan dalam 10 perlawanan sudah memadai untuk layak ke Euro 2016 berikutan keputusan UEFA menambah bila­ngan penyertaan kepada 24 pasukan yang bertanding di pusi­ngan akhir, sementara format sama dikekalkan bagi saingan kelayakan.

Hampir separuh daripada 54 pasukan UEFA akan mengambil bahagian dalam pusingan akhir di Perancis, sekali gus membangkitkan persoalan yang selama ini tidak diambil peduli berhubung pasukan mana yang gagal melayakkan diri berbanding yang berjaya berbuat demikian.

Dalam Piala Dunia yang lalu, corak permainan menyerang de­ngan pelbagai drama yang tidak berkesudahan telah memberi rangsangan cukup baik untuk bola sepak antarabangsa, namun kadangkala turut mendedahkan kepincangan yang wujud dalam Liga Juarajuara dan liga domestik yang popular.

Pasukan terkemuka seperti Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol yang tidak berdepan masalah untuk layak ke Piala Dunia, pasti tidak perlu mengeluarkan banyak peluh untuk melepasi halangan kelayakan.
Sedangkan 13 tempat yang ditawarkan sebelum ini mudah direbut mereka, apatah lagi jika bilangan pasukan bertanding ditambah oleh UEFA.

Dalam saingan kali ini... terdapat lapan kumpulan yang mana tujuh daripadanya disertai enam pasukan, manakala satu lagi kumpulan dihuni lima buah negara bertanding.

Dua pasukan yang berada di kedudukan teratas akan layak secara automatik, sementara pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga terbaik berserta tuan rumah, Perancis akan turut bermain di pusingan akhir Euro.

Sebanyak lapan pasukan yang berada di kedudukan ketiga akan beraksi dalam saingan timbal balik (playoff ) untuk merebut baki empat tempat yang ditawarkan. Ini bermakna pasukan yang bakal mela­yakkan diri ke Perancis hanya perlu menang dalam dua perlawanan, walaupun tewas lima pertemuan.

Pasukan yang menamatkan saingan kelayakan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 adalah Finland yang mencatat rekod dua kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan, sementara Slovenia memenangi lima aksi serta tumpas lima daripada daripada 10 pertemuan dan Slovakia melakar tiga kemena­ngan, empat seri serta tiga kekalahan.

Pencapaian itu melayakkan mereka beraksi dalam playoff di bawah format Euro 2016, yang mana dua kali seri sudah memadai untuk membawa mereka ke Perancis jika pasukan itu melakar kemenangan berdasarkan kepada kiraan gol di tempat lawan atau pun menerusi sepakan penalti penentuan.

Format baharu itu juga memberi peluang kepada 26 pasukan yang tidak pernah layak sebelum ini iaitu Albania, Andorra, Armenia, Azerbaijan, Belarus, Bosnia, Cyprus, Estonia, Kepulauan Faroe, Finland, Georgia, Gibraltar, Iceland, Israel, Kazakhstan, Liechtenstein, Lithuania, Luxemburg, Macedonia, Malta, Moldova, Montenegro, Ireland Utara, San Marino, Slovakia dan Wales. - REUTERS


No comments:

Post a Comment