})();

nuffnang

15 January 2014

Chong Wei Mampu Bangkit

               

KUALA LUMPUR - Kekalahan Datuk Lee Chong Wei buat kali keempat berturut-turut kepada Chen Long di perlawanan akhir Siri Super Terbuka Korea kelmarin tidak merisaukan jurulatihnya, Tey Seu Bock.

Sebaliknya beliau yakin, pemain nombor satu dunia itu mampu mempertahankan gelaran Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang membuka tirai hari ini.

Kelmarin, Chong Wei mengakui, Chen Long semakin liat untuk ditumbangkan dan hampir menyamai prestasi Lin Dan setelah kalah kepada pemain sensasi China itu straight set 14-21, 15-21 di Seoul seterusnya memadamkan impiannya untuk meraih gelaran sulung 2014.

Menurut Seu Bock, beliau menonton perlawanan itu dan akan berbincang dengan Chong Wei sebaik pemain tersebut kembali ke Malaysia.

"Kita akan menganalisis semula prestasinya dan saya yakin dia masih mempunyai peluang untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketujuh berturut-turut dan kesepuluh dalam kariernya," katanya di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Selain berjaya mempertahankan kejuaraan sejak 2008 hingga tahun lalu, Chong Wei juga pernah meraih gelaran ini pada 2004, 2005 dan 2006.

Seu Bock berkata, penganjuran Siri Super Premier buat kali pertama di Terbuka Malaysia bakal menyaksikan kehadiran pemain terbaik dunia, namun ia bukan halangan buat Chong Wei mengekalkan gelaran terutama beraksi di hadapan peminat tempatan.

"Dia mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri, memang kalau dilihat daripada undian yang dilakukan bukan mudah untuknya merangkul kejuaraan tetapi juga bukan alasan buat Chong Wei untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Selain Chong Wei, pemain negara yang lain perlu merebut peluang dan buktikan bahawa mereka mampu menggalas cabaran negara. Mereka perlu mempamer tahap permainan terbaik serta menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka pemain yang tidak bagus," katanya.


Chong Wei akan bertemu pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada pusingan pertama, manakala lawannya di pusingan kedua mungkin pemain China, Wang Zhengming . Seorang lagi pemain China, Du Pengyu berkemungkinan akan menjadi halangannya di peringkat suku akhir.

Melihat carta undian, Chong Wei dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen atau pemain Thailand, Boonsak Ponsana di peringkat separuh akhir. - Utusan


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment