})();

08 December 2016

2017 Format Piala Malaysia Tiada Perubahan

Format Tidak Berubah, Jadual Piala Malaysia Serentak Dengan Liga Super Dan Liga Perdana.
Ramai di kalangan peminat bola sepak Malaysia tertanya-tanya adakah jadual dan format perlawanan bola sepak akan berubah berikutan Malaysia menjadi tuan rumah pada aksi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun hadapan.
Namun segala teka-teki kini sudah terjawab selepas satu pertemuan diadakan dengan wakil semua pasukan semalam.
Format sedia ada Liga Malaysia (Liga M) tahun depan kekal seperti  musim ini apabila saingan Piala Malaysia berlangsung serentak dengan Liga Super dan Liga Perdana.
Keputusan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam hasil pertemuan dengan wakil pasukan negeri dan kelab.
" Saingan Liga Super dan Liga Perdana serta Piala Malaysia akan diadakan serentak. Pasukan memilih untuk kekal dengan format sedia ada sekarang kerana mereka mahu memberi peluang pada pendekatan sekarang untuk lebih berjaya," kata Kevin semasa taklimat Liga-M semalam.
Berdasarkan jadual awal, kempen Liga-M 2017 akan bermula dengan aksi sumbangsih antara penyandang juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (Johor DT) bertemu juara Piala Malaysia Kedah di Larkin pada 20 Januari depan dan turut dilangsungkan pada tarikh yang sama perlawanan Liga Perdana.
Manakala perlawanan lain Liga Super akan diadakan pada 21 Januari dengan pembuka tirai Piala Malaysia pada Ogos dan berakhir pada 28 Oktober.
Kevin turut menambah yang jadual liga sedikit padat pada Julai kerana saingan akan berehat pada Ogos untuk memberi laluan kepada Sukan SEA Kuala Lumpur juga dimaklumkan tiada sebarang perlawanan berlangsung ketika Bulan Ramadan.
" Dari segi penjadualan kami sudah cuba memastikan perlawanan ada jarak tapi kerana Sukan SEA berlangsung Ogos, kami akan berehat tiga minggu, jadi jadual Julai akan sedikit padat. Selain itu, Ok," katanya.
Berhubung isu pendaftaran PKNS FC pula dalam Liga-M musim depan, Kevin berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu surat penyertaan kelab itu yang kini dikatakan sudah bergabung dengan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS) selepas tidak mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
" Hal ahli gabungan adalah di bawah statut FAM, jadi hanya mereka yang layak menentukan sama ada setiap pasukan itu ahli gabungan atau tidak. Kami akan merujuk dahulu kepada FAM, kalau dikatakan sah maka FMLLP akan terima penyertaan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment