})();

nuffnang

24 October 2016

Faizat Layak Dapat Pujian

Faizat Ghazli Mendapat Pujian Melambung Bantu Pulau Pinang Kekal Liga Super 2017
Nama beliau yang sudah tidak asing lagi di kalangan penyokong Harimau Kumbang terus meniti di setiap bibir peminat tegar bola sepak Pulau Pinang.
Bekas pemain Harimau Muda Mohd Faizat Mohd Ghazli tiba-tiba menjadi sebutan dan dia pantas menerima pujian khususnya daripada penyokong bola sepak Pulau Pinang apabila menjadi wira selepas menjaringkan gol yang cukup penting ketika menewaskan Terengganu 1-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Bandaraya Sabtu lepas.
Jaringan mudah yang dilakukan Mohd Faizat, 22, merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu besar maknanya apabila kemenangan pada perlawanan yang ke-22 dan terakhir itu menyaksikan Pulau Pinang kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan manakala Terengganu terpaksa akur tersingkir ke Liga Perdana.
Mengakui amat berbangga dengan jaringan itu dan mengharumkan nama Pulau Pinang. Mohd Faizat  berkata yang dia menanam azam dalam diri semasa menyarung jersi Harimau Kumbang sebagai pemain tengah dua musim lalu, dia bertekad dan berazam untuk mencipta sesuatu buat pasukan.
"Memang Pulau Pinang dan Terengganu turun dengan misi hidup mati untuk kekal dalam Liga Super. Biar pun awalnya agak sukar saya berusaha dan tidak menyangka akhirnya dapat menjaringkan gol yang amat penting itu dengan tolakan mudah kegawang lawan.
"Saya hanya memikirkan pasukan, peminat dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan padu serta dorongan selama ini dan ini adalah hadiah buat mereka," katanya.
Nenad Bacina Ketua Jurulatih dan Pengurus Pulau Pinang melahirkan rasa bangga dengan persembahan anak buahnya apabila berjaya mencapai impian mereka untuk kekal pada saingan Liga Super musim depan.

23 October 2016

Pulau Pinang Lega Kekal Di Liga Super 2017

Terengganu Terpaksa Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Liga Super Selepas Tewas 0-1
Pulau Pinang yang menerima kunjungan Terengganu malam tadi di Stadium Bandaraya menarik nafas lega selepas berjaya menewaskan sang penyu dengan jaringan tipis 1-0.
Manakala Terengganu pula sebelum perlawanan menyatakan yang mereka akan bermain bermatian-matian untuk terus kekal dalam saingan liga super musim depan. Namun segalanya serba tidak menjadi dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga super kerana mereka turun ke kancah liga perdana musim depan.
Keputusan itu sudah pasti terlalu pahit untuk diterima Terengganu apabila mereka mengiringi PDRM diturunkan pangkat ke Liga Perdana.
Bagi skuad Harimau Kumbang pula, mereka seharusnya berterima kasih kepada Faizat Ghazli yang meledak gol tunggal perlawanan berbaki 3 minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Perlawanan yang tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan terdesak untuk mendapatkan kemenangan saling berbalas serangan dari awal hingga tamat perlawanan.
Terengganu mendapat peluang terbaik menerusi Issey Nakajima pada minit ke-45, namun rembatan derasnya terlalu tinggi melewati palang gol.
Pemain import Jeong Seok-Min pula hampir meletakkan Pulau Pinang di depan pada minit ke-59, bagaimanapun percubaannya sekadar menggegarkan palang gol sehinggalah Faizat muncul wira Pulau Pinang yang mendapat bola hantaran Jafri Chew dan berjaya meledakkan gol pada minit ke-87.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Kumbang berjaya mengumpul 22 mata dan hanya satu mata mengatasi PDRM di tangga ke-11, manakala Terengganu kekal di kedudukan tercorot dengan 19 mata.

17 October 2016

Pulau Pinang Aka Harimau Kumbang Kekal Liga Super 2017

Matias Cordoba Kapten Pulau Pinang Yakin  Kekal Liga Super 2017
Aksi yang kurang memberangsangkan skuad Pulau Pinang dalam Liga Super 2016 menjadikan peminat resah dalam menunggu pertemuan terakhir penentuan yang bakal menyaksikan kesudahan nasib Pulau Pinang menentang Terengganu di Stadium Bandaraya Sabtu ini 22hb Oktober 2016.
Pertemuan ini yang dianggap sebagai "Final" Liga Super oleh sesetengah penyokong disebabkan ianya bakal ditayangkan oleh TV3 nanti. Dalam pada itu keseluruhan pasukan amat komited untuk memberi persembahan terbaik mereka.
Ketua pasukan Pulau Pinang, Matias Jesus Cordoba, kelahiran Argentina itu memberi jaminan yang moral rakan-rakan sepasukan kekal utuh bagi menghadapi Terengganu biarpun sebahagian peminat bimbang tahap keyakinan pasukan sudah mula menurun selepas gagal menang dalam empat aksi terakhir.
Jelasnya, matlamat memastikan Pulau Pinang kekal di Liga Super pada musim depan menjadi pemangkin semangat buat mereka semua meneruskan latihan dengan penuh komitmen menjelang aksi 22 Oktober ini.
Di minda Matias hanya satu iaitu pada 2017, Pulau Pinang terus kekal di Liga Super dan tidak rela melihat persinggahan mereka sekadar terhenti selama satu musim.
“Moral masih tinggi dalam kalangan pemain menjelang perlawanan terakhir liga kerana kami tahu begitu penting perlawanan ini demi masa depan kami dan pasukan Pulau Pinang sendiri. Sudah tentu kami jangkakan perlawanan paling sukar serta tekanan yang tinggi namun harap semua boleh memberikan 100 peratus fokus dan meraih tiga mata.
Bila sudah tidak menang dalam empat perlawanan, sudah tentu moral kebanyakkan pemain serba sedikit akan jatuh tetapi kes ini berlainan sama sekali. Semua rakan sepasukan saya masih fokus kerana kami semua punyai objektif yang sama iaitu pada 2017, Pulau Pinang masih berada di Liga Super, saya percaya rakan sepasukan mampu menceriakan seluruh peminat bola sepak Pulau Pinang dengan kemenangan di Bandaraya,”katanya.
Dalam masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan terutama Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff yang memberikan sokongan kepada semua pemain sejak bermula awal musim walaupun keputusan pasukan tidak menentu.
Tambahnya, jika mereka mampu memastikan slot Liga Super kekal menjadi milik Pulau Pinang, itu akan menjadi hadiah terbaik kepada pihak pengurusan FAP.
“Presiden dan pengurusan sentiasa memastikan kebajikan pemain berada di tahap terbaik sepanjang tahun ini malahan tidak putus-putus memberikan sokongan. Kali ini giliran kami pula bantu mereka dengan mempertahankan maruah pasukan daripada terjerumus ke Liga Perdana pada musim depan,” katanya.
Selain itu, Cordoba mengharapkan Stadium Bandaraya pada 22 Oktober ini akan dipenuhi ribuan penyokong setia Pulau Pinang yang sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang musim ini.
“Saya cukup hormati penyokong Pulau Pinang kerana masih belum berputus asa dengan kami, tidak kira apa jua yang sedang kami lalui sekarang. Walaupun musim ini bukan yang terbaik buat kami, saya harap mereka akan terus setia bersama pasukan pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya,” katanya.
Admin berharap seluruh peminat setia Pulau Pinang sama-sama turun memenuhi setiap ruang yang ada demi menyelamatkan maruah Pulau Pinang dengan sokongan jitu dan padu tanpa berbelah bahagi. Apatah lagi dengan tiket teres percuma sebanyak 6000 keping dan tiket grandstand hanya berharga RM10 sahaja. Ayuh warga Pulau Pinang penuhkan Bandaraya...

Perang Liverpool Dan Manchester United

Jurgen Klopp Dan Jose Mourinho Lancar Perang Psikologi Menjelang Aksi Pertemuan Awal Pagi Esok.
Jurgen Klopp dengan tegas menyatakan yang dia sama sekali tidak cemburu dengan wang yang dimiliki Manchester United manakala di Old Trafford, Jose Mourinho pula mengakui, The Reds bukan ' pasukan istimewa ' menjelang pertemuan dua musuh ketat itu dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield esok ( jam 3 pagi Selasa waktu Malaysia ).
Sejak tiba di Old Trafford Mourinho telah berbelanja sebanyak 150 juta pound (RM768 juta) pada musim panas lalu, termasuk menandatangani Paul Pogba menerusi bayaran rekod dunia, sementara Klopp pula mengaut keuntungan 16 juta pound (RM81 juta) untuk kelabnya dalam pasaran perpindahan.
"Saya langsung tidak peduli tentang berapa banyak wang yang dibelanjakan kelab lain. Saya tidak pernah memikirkan tentangnya walau sesaat dalam hidup saya. Mempunyai lebih banyak wang bukanlah impian saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus.
"Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini. Jadi, saya amat selesa dengan apa yang kami belanjakan dan ianya amat berbaloi," kata Klopp.
Permulaan musim Liga ini yang dilihat Liverpool agak cemerlang namun Klopp masih tetap berhati-hati dalam mengendalikan keterujaan dan keyakinan yang menyelubungi Anfield.
Sementara itu, musuh ketatnya, Mourinho menegaskan, seandainya dapat mengalahkan Liverpool ianya bukanlah keterujaan dan tidak mengembirakan kerana The Reds bukanlah pasukan yang terlalu hebat.
Pengurus United itu mempunyai sejarah hitam tersendiri dengan Liverpool. Pada 2005, ketika dia membimbing Chelsea, jaringan Luis Garcia menyingkirkan Blues pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan membawa Reds mara ke final sebelum muncul juara.
Dan kini, Mourinho yang mendapat gelaran 'Special One' akan kembali berdepan Liverpool yang sama sekali berwajah baharu dan apabila ditanya dia akan mendapat kepuasan seandainya menang esok, pantas dia menjawab:"Tidak.
"Pada saya, menentang Liverpool sama seperti berdepan kelab besar lain, tiada yang istimewa".
Jurulatih kelahiran Portugal itu, berkata yang dia amat suka berdepan kelab-kelab besar dan menganggap Liverpool antara lawan paling mencabar dalam Liga Perdana namun itu tidak meletakkan mereka lebih istimewa berbanding kelab lain.
"Ketika bersama Real Madrid, saya suka menentang Barcelona, Atletico dan Valencia.
"Di Inter Milan saya mahu bertemu AC Milan, Juventus dan Roma. Ketika melatih Chelsea pula saya sentiasa menunggu pertemuan dengan Manchester United, Liverpool, Arsenal dan kelab-kelab besar lain.
"Sekarang di United, saya suka bertemu kelab besar, Liverpool antaranya dan saya amat gembira menanti pertemuan ini," katanya.