})();

nuffnang

04 February 2013

Ronaldo Tambah Derita Real



MADRID - Cristiano Ronaldo buat pertama kali menjaringkan gol sendiri dalam kerjayanya yang sekali gus menjadi penyebab kekalahan 0-1 Real Madrid kepada kelab bawahan La Liga, Granada, semalam.

Kekalahan tersebut turut menambah derita Real yang semakin tipis untuk mempertahankan gelaran yang mereka menangi musim lalu.

Ronaldo yang telah meledakkan sebanyak 21 gol dalam aksi liga musim ini, menanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-22 dan pasukannya selepas itu gagal menghadirkan ancaman ke kubu lawan yang kebal.

Keputusan tersebut menyebabkan penyandang juara itu ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Barcelona, yang berpeluang melebarkan jurang kedudukan kepada 18 mata sekiranya mencatat kemenangan di Valencia.

Real mengumpul 43 mata daripada 22 perlawanan dah masih kekal ketinggalan empat mata di belakang pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid.

"Kami tidak bermain baik, tanggungjawab itu saya yang pikul. Keputusan tersebut memang mengganggu saya. Pada babak pertama memang teruk dan walaupun, kami berjaya meningkatkan kualiti permainan pada separuh masa kedua, ia masih tidak mencukupi.

"Granada berjaya bertahan dengan penuh semangat dan motivasi mereka juga cukup tinggi dan mereka bermain bola sepak dengan cukup hebat, semalam," kata jurulatih Real, Jose Mourinho pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol, Rabu lalu menentang Barca di tempat sendiri yang turut menyaksikan Real dipaksa berhempas pulas sebelum mengikat kedudukan seri 1-1, ternyata memberi kesan kepada skuad bimbingan Mourinho untuk meneruskan perjuangan mereka.

Kerja keras tuan rumah, yang mendapat sumber inspirasi berikutan perubahan jurulatih daripada Juan Antonio Anguela kepada Lucas Alcaraz, memanfaatkan peluang apabila Real menjaringkan gol sendiri.
Real tumpas dalam lima perlawanan musim ini, empat daripada perlawanan itu berlaku di Andalusia setelah tewas mengejut di Sevilla, Real Betis, Malaga dan Granada. Sementara satu lagi pertemuan, mereka kalah di Getafe.

Dalam pada itu, Levante melepaskan peluang untuk berada dalam kedudukan Liga Juara-Juara setelah tumpas 2-3 kepada Espanyol, sementara Deportivo La Coruna kekal di tangga tercorot apabila kalah 1-3 di Getafe.

Osasuna pula berjaya keluar daripada kedudukan tiga tercorot setelah melakar kemenangan 1-0 ke atas Celta Vigo di tempat sendiri. - Reuters - UTUSAN

Piala Afrika: Burkina Faso, Nigeria ke separuh akhir


RUSTENBURG, Afrika Selatan 4 Feb. - Burkina Faso dan Nigeria melengkapkan slot separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika selepas pasukan pilihan, Ivory Coast sekali lagi gagal memenuhi harapan.

Burkina Faso menumpaskan Togo 1-0 awal pagi tadi, berterima kasih kepada jaringan masa tambahan Jonathan Pitroipa di Nelspruit tidak lama selepas Nigeria mengejutkan Ivory Coast 2-1 di Rustenburg.

Nigeria akan bertemu Mali pada separuh akhir di Durban, Rabu ini manakala Ghana dan Burkina Faso bertemu di Nelspruit pada hari yang sama.

Perlawanan akhir akan berlangsung, Ahad ini. - REUTERS - UTUSAN

Permohonan PKNS Di Tolak Kena Tunggu April


PETALING JAYA 4 Feb. - Hasrat PKNS untuk menggunakan khidmat bekas pemain kelab Portugal, SC Beira Mar, Nazmi Faiz Mansor lebih awal pada aksi Liga Super 16 Februari ini tidak kesampaian apabila ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, permintaan kelab Liga Super itu terpaksa ditolak kerana perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Tambah Azzuddin, mengikut peraturan perpindahan FAM, PKNS hanya boleh menggunakan khidmat pemain dari Keramat, Kuala Lumpur itu pada April ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PKNS kerana menghormati peraturan FAM dan mereka perlu menunggu sehingga April untuk mendaftarkan Nazmi.

“Keputusan yang kami buat ini bukan dilaksanakan mengikut emosi tetapi ini adalah prosedur biasa buat mana-mana pasukan dan mereka perlu mendaftar bermula 8 hingga 22 April ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berhubung status Nazmi bersama PKNS di Wisma FAM di sini. - UTUSAN


Misteri Belum Terjawab




PETALING JAYA - Punca kepulangan mengejut bintang muda bola sepak negara, Nazmi Faiz Mansor ke tanah air baru-baru ini masih belum terjawab.

Sidang akhbar yang diadakan bersama pasukan baharunya, PKNS FC semalam gagal merungkai persoalan mengapa dia meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, S.C Beira-Mar secara tiba-tiba.

Penjelasan yang dibuat Nazmi di sepanjang sidang media semalam mengecewakan, apabila penjelasannya langsung tidak menjawab persoalan pokok, mengapa dia meninggalkan kelabnya.

Lebih menghairankan adalah kekerapannya menoleh ke arah ejennya, Marco Guimaraes untuk dirujuk sebelum membalas soalan yang diajukan para pemberita, seolah-olah untuk 'bermain selamat'.
Tindak tanduknya bercanggah dengan kenyataannya bahawa 'keputusan yang dibuat adalah atas kehendak saya sendiri, bukan dipengaruhi sesiapa'.

Apabila diajukan soalan yang paling mahu diketahui iaitu mengapa dia berbuat demikian dan apakah langkah itu wajar untuk masa depannya, dia cuma membalas: "Ini bagus untuk masa depan saya dan tak ada apa pun yang boleh saya katakan pasal saya dan Beira Mar... saya akan buat yang terbaik di PKNS FC."

Untuk menjernihkan isu berhubung statusnya dengan Beira Mar, Nazmi berkata dia bukan lagi pemain kelab itu dan tidak akan kembali ke Portugal seperti yang dikhabarkan.

"Saya sudah dibebaskan oleh Beira Mar dan berita mengenai saya akan kembali ke sana selepas enam bulan, perkara itu tidak benar," jelas Nazmi.

Sekalipun menyifatkannya sebagai keputusan 'mengejut', Nazmi menegaskan keputusannya tepat setelah berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya dan ejennya, Marco.

"Pengalaman di Beira Mar menyeronokkan, tapi saya sendiri memilih jalan ini, Alhamdulillah, saya yakin ini keputusan terbaik untuk saya. Saya mendapat restu daripada ibu dan ayah dan mendapat nasihat ejen saya, Marco."

Kepulangan mengejut Nazmi selepas menamatkan kontrak bersama Beira Mar pada Khamis lalu menimbulkan seribu satu soalan termasuk apakah hubungannya dengan kelab Portugal itu terjejas.

Dalam hal ini Marco menjelaskan: "Kontrak ditamatkan secara persetujuan bersama kedua-dua belah pihak,
"Tiada masalah berlaku, Nazmi bermain dengan baik di situ, tetapi akhirnya keputusan terletak di tangan pemain dan kelab sendiri."

Nazmi turut meluahkan impiannya untuk beraksi di Eropah masih belum pudar.

"Peluang saya masih tidak tertutup lagi, usia saya masih muda dan saya ada banyak masa lagi. Semoga dengan usaha saya di PKNS akan membuat laluan baharu untuk saya kembali ke Eropah selepas ini. Kalau ada rezeki untuk ke luar negara lagi, kenapa tidak?"- Utusan