})();

24 October 2016

Faizat Layak Dapat Pujian

Faizat Ghazli Mendapat Pujian Melambung Bantu Pulau Pinang Kekal Liga Super 2017
Nama beliau yang sudah tidak asing lagi di kalangan penyokong Harimau Kumbang terus meniti di setiap bibir peminat tegar bola sepak Pulau Pinang.
Bekas pemain Harimau Muda Mohd Faizat Mohd Ghazli tiba-tiba menjadi sebutan dan dia pantas menerima pujian khususnya daripada penyokong bola sepak Pulau Pinang apabila menjadi wira selepas menjaringkan gol yang cukup penting ketika menewaskan Terengganu 1-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Bandaraya Sabtu lepas.
Jaringan mudah yang dilakukan Mohd Faizat, 22, merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu besar maknanya apabila kemenangan pada perlawanan yang ke-22 dan terakhir itu menyaksikan Pulau Pinang kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan manakala Terengganu terpaksa akur tersingkir ke Liga Perdana.
Mengakui amat berbangga dengan jaringan itu dan mengharumkan nama Pulau Pinang. Mohd Faizat  berkata yang dia menanam azam dalam diri semasa menyarung jersi Harimau Kumbang sebagai pemain tengah dua musim lalu, dia bertekad dan berazam untuk mencipta sesuatu buat pasukan.
"Memang Pulau Pinang dan Terengganu turun dengan misi hidup mati untuk kekal dalam Liga Super. Biar pun awalnya agak sukar saya berusaha dan tidak menyangka akhirnya dapat menjaringkan gol yang amat penting itu dengan tolakan mudah kegawang lawan.
"Saya hanya memikirkan pasukan, peminat dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan padu serta dorongan selama ini dan ini adalah hadiah buat mereka," katanya.
Nenad Bacina Ketua Jurulatih dan Pengurus Pulau Pinang melahirkan rasa bangga dengan persembahan anak buahnya apabila berjaya mencapai impian mereka untuk kekal pada saingan Liga Super musim depan.

23 October 2016

Pulau Pinang Lega Kekal Di Liga Super 2017

Terengganu Terpaksa Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Liga Super Selepas Tewas 0-1
Pulau Pinang yang menerima kunjungan Terengganu malam tadi di Stadium Bandaraya menarik nafas lega selepas berjaya menewaskan sang penyu dengan jaringan tipis 1-0.
Manakala Terengganu pula sebelum perlawanan menyatakan yang mereka akan bermain bermatian-matian untuk terus kekal dalam saingan liga super musim depan. Namun segalanya serba tidak menjadi dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga super kerana mereka turun ke kancah liga perdana musim depan.
Keputusan itu sudah pasti terlalu pahit untuk diterima Terengganu apabila mereka mengiringi PDRM diturunkan pangkat ke Liga Perdana.
Bagi skuad Harimau Kumbang pula, mereka seharusnya berterima kasih kepada Faizat Ghazli yang meledak gol tunggal perlawanan berbaki 3 minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Perlawanan yang tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan terdesak untuk mendapatkan kemenangan saling berbalas serangan dari awal hingga tamat perlawanan.
Terengganu mendapat peluang terbaik menerusi Issey Nakajima pada minit ke-45, namun rembatan derasnya terlalu tinggi melewati palang gol.
Pemain import Jeong Seok-Min pula hampir meletakkan Pulau Pinang di depan pada minit ke-59, bagaimanapun percubaannya sekadar menggegarkan palang gol sehinggalah Faizat muncul wira Pulau Pinang yang mendapat bola hantaran Jafri Chew dan berjaya meledakkan gol pada minit ke-87.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Kumbang berjaya mengumpul 22 mata dan hanya satu mata mengatasi PDRM di tangga ke-11, manakala Terengganu kekal di kedudukan tercorot dengan 19 mata.

17 October 2016

Pulau Pinang Aka Harimau Kumbang Kekal Liga Super 2017

Matias Cordoba Kapten Pulau Pinang Yakin  Kekal Liga Super 2017
Aksi yang kurang memberangsangkan skuad Pulau Pinang dalam Liga Super 2016 menjadikan peminat resah dalam menunggu pertemuan terakhir penentuan yang bakal menyaksikan kesudahan nasib Pulau Pinang menentang Terengganu di Stadium Bandaraya Sabtu ini 22hb Oktober 2016.
Pertemuan ini yang dianggap sebagai "Final" Liga Super oleh sesetengah penyokong disebabkan ianya bakal ditayangkan oleh TV3 nanti. Dalam pada itu keseluruhan pasukan amat komited untuk memberi persembahan terbaik mereka.
Ketua pasukan Pulau Pinang, Matias Jesus Cordoba, kelahiran Argentina itu memberi jaminan yang moral rakan-rakan sepasukan kekal utuh bagi menghadapi Terengganu biarpun sebahagian peminat bimbang tahap keyakinan pasukan sudah mula menurun selepas gagal menang dalam empat aksi terakhir.
Jelasnya, matlamat memastikan Pulau Pinang kekal di Liga Super pada musim depan menjadi pemangkin semangat buat mereka semua meneruskan latihan dengan penuh komitmen menjelang aksi 22 Oktober ini.
Di minda Matias hanya satu iaitu pada 2017, Pulau Pinang terus kekal di Liga Super dan tidak rela melihat persinggahan mereka sekadar terhenti selama satu musim.
“Moral masih tinggi dalam kalangan pemain menjelang perlawanan terakhir liga kerana kami tahu begitu penting perlawanan ini demi masa depan kami dan pasukan Pulau Pinang sendiri. Sudah tentu kami jangkakan perlawanan paling sukar serta tekanan yang tinggi namun harap semua boleh memberikan 100 peratus fokus dan meraih tiga mata.
Bila sudah tidak menang dalam empat perlawanan, sudah tentu moral kebanyakkan pemain serba sedikit akan jatuh tetapi kes ini berlainan sama sekali. Semua rakan sepasukan saya masih fokus kerana kami semua punyai objektif yang sama iaitu pada 2017, Pulau Pinang masih berada di Liga Super, saya percaya rakan sepasukan mampu menceriakan seluruh peminat bola sepak Pulau Pinang dengan kemenangan di Bandaraya,”katanya.
Dalam masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan terutama Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff yang memberikan sokongan kepada semua pemain sejak bermula awal musim walaupun keputusan pasukan tidak menentu.
Tambahnya, jika mereka mampu memastikan slot Liga Super kekal menjadi milik Pulau Pinang, itu akan menjadi hadiah terbaik kepada pihak pengurusan FAP.
“Presiden dan pengurusan sentiasa memastikan kebajikan pemain berada di tahap terbaik sepanjang tahun ini malahan tidak putus-putus memberikan sokongan. Kali ini giliran kami pula bantu mereka dengan mempertahankan maruah pasukan daripada terjerumus ke Liga Perdana pada musim depan,” katanya.
Selain itu, Cordoba mengharapkan Stadium Bandaraya pada 22 Oktober ini akan dipenuhi ribuan penyokong setia Pulau Pinang yang sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang musim ini.
“Saya cukup hormati penyokong Pulau Pinang kerana masih belum berputus asa dengan kami, tidak kira apa jua yang sedang kami lalui sekarang. Walaupun musim ini bukan yang terbaik buat kami, saya harap mereka akan terus setia bersama pasukan pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya,” katanya.
Admin berharap seluruh peminat setia Pulau Pinang sama-sama turun memenuhi setiap ruang yang ada demi menyelamatkan maruah Pulau Pinang dengan sokongan jitu dan padu tanpa berbelah bahagi. Apatah lagi dengan tiket teres percuma sebanyak 6000 keping dan tiket grandstand hanya berharga RM10 sahaja. Ayuh warga Pulau Pinang penuhkan Bandaraya...

Perang Liverpool Dan Manchester United

Jurgen Klopp Dan Jose Mourinho Lancar Perang Psikologi Menjelang Aksi Pertemuan Awal Pagi Esok.
Jurgen Klopp dengan tegas menyatakan yang dia sama sekali tidak cemburu dengan wang yang dimiliki Manchester United manakala di Old Trafford, Jose Mourinho pula mengakui, The Reds bukan ' pasukan istimewa ' menjelang pertemuan dua musuh ketat itu dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield esok ( jam 3 pagi Selasa waktu Malaysia ).
Sejak tiba di Old Trafford Mourinho telah berbelanja sebanyak 150 juta pound (RM768 juta) pada musim panas lalu, termasuk menandatangani Paul Pogba menerusi bayaran rekod dunia, sementara Klopp pula mengaut keuntungan 16 juta pound (RM81 juta) untuk kelabnya dalam pasaran perpindahan.
"Saya langsung tidak peduli tentang berapa banyak wang yang dibelanjakan kelab lain. Saya tidak pernah memikirkan tentangnya walau sesaat dalam hidup saya. Mempunyai lebih banyak wang bukanlah impian saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus.
"Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini. Jadi, saya amat selesa dengan apa yang kami belanjakan dan ianya amat berbaloi," kata Klopp.
Permulaan musim Liga ini yang dilihat Liverpool agak cemerlang namun Klopp masih tetap berhati-hati dalam mengendalikan keterujaan dan keyakinan yang menyelubungi Anfield.
Sementara itu, musuh ketatnya, Mourinho menegaskan, seandainya dapat mengalahkan Liverpool ianya bukanlah keterujaan dan tidak mengembirakan kerana The Reds bukanlah pasukan yang terlalu hebat.
Pengurus United itu mempunyai sejarah hitam tersendiri dengan Liverpool. Pada 2005, ketika dia membimbing Chelsea, jaringan Luis Garcia menyingkirkan Blues pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan membawa Reds mara ke final sebelum muncul juara.
Dan kini, Mourinho yang mendapat gelaran 'Special One' akan kembali berdepan Liverpool yang sama sekali berwajah baharu dan apabila ditanya dia akan mendapat kepuasan seandainya menang esok, pantas dia menjawab:"Tidak.
"Pada saya, menentang Liverpool sama seperti berdepan kelab besar lain, tiada yang istimewa".
Jurulatih kelahiran Portugal itu, berkata yang dia amat suka berdepan kelab-kelab besar dan menganggap Liverpool antara lawan paling mencabar dalam Liga Perdana namun itu tidak meletakkan mereka lebih istimewa berbanding kelab lain.
"Ketika bersama Real Madrid, saya suka menentang Barcelona, Atletico dan Valencia.
"Di Inter Milan saya mahu bertemu AC Milan, Juventus dan Roma. Ketika melatih Chelsea pula saya sentiasa menunggu pertemuan dengan Manchester United, Liverpool, Arsenal dan kelab-kelab besar lain.
"Sekarang di United, saya suka bertemu kelab besar, Liverpool antaranya dan saya amat gembira menanti pertemuan ini," katanya.

16 October 2016

Kedah Vs Selangor Final Piala Malaysia 2016

Kedah Layak Walaupun Terikat Dengan PDRM Agregat 2-1, Selangor Benam TTeam Agregat 5-1. Final Pada 30hb Oktober 2016 Di Stadium Shah Alam.
Selangor yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia musim lepas meranapkan impian T-Team untuk mencipta sejarah layak buat pertama kali ke final Piala Malaysia apabila menundukkan skuad The Titans itu 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi sekali gus mara dengan agregat 5-1.
Perlawanan yang di cemari dengan pelbagai insiden menyaksikan skuad The Red Giants berkunjung ke tempat lawan dengan penuh semangat berbekalkan kelebihan jaringan di tempat sendiri 2-1.
Selangor bermula garang apabila wisel permulaan dibunyikan dan mereka hanya memerlukan dua minit untuk mengejutkan tuan rumah menerusi gol jaringan pemain kebangsaan R Gopinathan yang menerima hantaran kapten Andik Vermansyah.
T-Team dilihat semakin terdesak untuk memburu gol, memperoleh sepakan percuma pada minit ke-12 dan diambil pemain import Patrick Dos Santos Cruz namun sepakan pemain kelahiran Brazil itu sedikit liar melambung tinggi dan ini melegakan penjaga gawang Selangor Mohd Khairul Azhan.
Pada minit ke-18 benteng pertahanan T-Team yang goyah sekali lagi dihukum pemain Red Giants menerusi jaringan pemain pertahanan Ugochukwu Ukah selepas bola sepakan Patrick Ronaldinho Wleh terkena pertahanan tuan rumah dan pemain itu berada pada posisi yang tepat menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad The Red Giants yang semakin bernafsu terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah. Kapten Selangor Andik Vermansyah bertindak membuat larian solo menewaskan pertahanan T-Team lalu merembat kencang dengan kaki kiri menewaskan penjaga gawang tuan rumah menjadikan 3-0. Tamat perlawanan kedudukan kekal dan Selangor berjaya melangkah ke final dengan Agregat 5-1.
Manakala satu lagi perlawanan diantara Kedah dan PDRM dilihat cukup hambar gara-gara masing-masing sekadar mempamerkan permainan berhati-hati dengan sekali sekala melakukan serangan ke kubu pihak lawan.
Permainan yang lebih dikuasai pelawat itu menyaksikan rembatan kencang kapten pasukan Badrul Baktiar pada minit ke-25 hampir membuahkan hasil namun berjaya ditepis penjaga gol Hamdan Sairi.
The Cops yang hanya memerlukan 1 gol sahaja untuk layak ke final gagal manafaatkan permainan ditempat sendiri dengan sokongan padu penyokong hanya mampu melakukan satu percubaan bahaya pada minit ke-19 menerusi rembatan kencang Fakhrul Aman Sidid namun tersasar ke kanan gawang Kedah.
Sehingga wisel penamat dibunyikan Kedah dan PDRM gagal menjaringkan sebarang gol namun Kedah berjaya mara ke final dengan agregat 2-1 dan bakal menentang Selangor pada 30hb Oktober 2016 di Stadium Shah nanti.

15 October 2016

Tiket Percuma Liga Super Pulau Pinang

Berita Gembira Buat Peminat Bolasepak Pulau Pinang Vs Terengganu Perlawanan Ke-22. Sumbangan Tiket Percuma.
Baca dan faham berkaitan tiket percuma yang disumbangkan oleh penaja untuk tiket teres dan grandstand perlawanan ke-22 Pulau Pinang Vs Terengganu pada hari sabtu 22hb Oktober 2016.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Sukacita dimaklumkan bahawa pihak FA Penang telah menerima penajaan untuk tiket-tiket perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang - Terengganu pada 22 Oktober 2016 (Sabtu) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Sehubungan itu dan selaras dengan penajaan tiket - tiket ini, FA Penang ingin mengumumkan bahawa tiket-tiket tempat duduk terbuka (terrace seats) akan diberikan PERCUMA kepada para penonton dan terhad kepada jumlah 6,000 keping tiket sahaja.
Pihak FA Penang juga telah mendapat tajaan sebahagian daripada harga 1500 keping tiket dewasa dan 100 keping tiket kanak kanak untuk tempat duduk  berbumbung (Grandstand).
Kini harga bagi tempat duduk berbumbung cuma RM10.00 bagi dewasa dan RM5.00 untuk kanak kanak.Tiket-tiket boleh diperolehi dari kaunter-kaunter jualan tiket di Stadium Bandaraya mulai jam 6.30 petang pada hari perlawanan.
Penonton tempat duduk terbuka dikehendaki untuk terus masuk ke dalam stadium selepas mendapatkan tiket tiket yang ditawarkan.
Sekian, harap maklum dan terima kasih.Pastikan kehadiran anda dan berikanlah sokangan padu kepada pasukan yang bertanding.

Kelab Bolasepak INGRESS TIGERS

Kelab Bolasepak Ingress Tiger Bakal Beri Saingan Dalam Bolasepak Malaysia
Mungkin ramai yang tidak mengetahui wujudnya sebuah kelab bolasepak di Malaysia bergelar "Ingress Tiger". Mungkin anda pernah mendengar dari rakan-rakan yang mengikuti perkembangan bola sepak negara tapi kurang arif siapakah dan apakah yang dipunyai kelab Ingress.
Ditemui pemberita sukan dalam satu wawancara khas bersama presiden merangkap pengurus Kelab Bolasepak Ingress Tiger, Heiqal Kamaruzaman.
"Kami mahu menjadi satu pasukan profesional satu hari nanti", azam oleh presiden Ingress Tiger.
Mereka kini merancang untuk memiliki infrustruktur lengkap seperti padang latihan, pasukan jurulatih serta akademi pembangunan bakat peringkat umur bagi melahirkan pemain berkaliber.
Malah beliau mengakui pihaknya kini sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mendapatkan sebidang tanah bagi tujuan itu.
"Kami serius dalam menjayakan wawasan ini dan berharap semuanya berjalan lancar...insha Allah,"katanya yang mahu mencontohi kejayaan Frenz United pada majlis pengenalan jersi pasukan di Bangsar.
Kelab yang dianggotai ramai pemain berpengalaman termasuk tujuh pemain futsal kebangsaan serta bekas pemain Liga M kini memegang rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara Selangor yang disertai 16 pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih Ahmad Faidi Zakaria.
"Kami sebelum ni sekadar pasukan underdog tapi selepas melakar tiga kemenangan dan lima seri tanpa kalah, rekod kami kini menjadi buruan kelab pilihan lain untuk dipadamkan.
"Pasukan akan berusaha untuk mempertahankannya dengan harapan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik memburu slot ke separuh akhir. Sudah tentu kami memasang impian untuk muncul juara dalam pernyertaan sulung ini.
"Saya amat yakin di bawah bimbingan Faidi yang juga bekas pemain futsal kebangsaan, pasukan akan terus konsisten dan komited serta aksi bertenaga selepas ini," kata Heiqal.
Skuad Ingress Tiger kini menghuni tangga keempat Kumpulan B Liga Juara-Juara Selangor. Mereka mengumpul sembilan
mata dalam lima perlawanan dengan dua menang, tiga kali seri dan masih mengekal rekod tanpa kalah.
Ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga, UFC Ultimate yang mengumpul 12 mata. Kedudukkan kedua dihuni oleh Naga FC dan Ketiga liga milik Klasiko FC.

04 October 2016

Aston Villa Pecat Roberto

Kejutan Liga Bolasepak Inggeris Musim 2016/2017 Baru Bermula Namun Pengendali Di Pecat.
Roberto Di Matteo dipecat Kelab Aston Villa semalam selepas mengendalikan 12 perlawanan Kelab Liga Kejuaraan itu.
Tony Xia pemilik baharu Aston Villa dari China itu bertanggungjawab membawa masuk Di Matteo sementara bekas pengurus Chelsea akan mengemudi mereka ke Liga Perdana Inggeris.
Villa yang mencipta hatrik turun ke divisyen dua buat pertama kali dalam sejarah penubuhan kelab sejak 1998 berikutan penyingkiran musim lalu namun mereka bergelut untuk menunjukkan peningkatan di bawah Di Matteo biarpun membeli beberapa pemain baru.
Steve Clarke akan memgambil alih sebagai pemangku Villa sementara kelab itu mencari pengganti dalam rehat aksi perlawanan antarabangsa.