})();

19 May 2016

Pulau Pinang Ketandusan Striker Tajam

Skuad Harimau Kumbang Gagal Akhiri Penyudah Yang Tajam Untuk Jaring Gol Dalam Setiap Perlawanan


Tewas 1-2 kepada Felda United FC dalam perlawanan ke-11 dan penutup tirai pusingan pertama Liga Super 2016 menyaksikan Pulau Pinang tersingkir untuk saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya malam tadi.

Pulau Pinang turun di laman sendiri dengan impian mencapai kemenangan 3 mata dan untuk layak ke Piala Malaysia manakala The Fighters ingin mempertahankan tahta Liga Super untuk terus mendominasi senarai teratas saingan.

Disaksikan hampir 7 ribu penyokong tuan rumah yang inginkan kemenangan bagi melayakkan mereka ke Piala Malaysia tidak kesampaian apabila skuad kendalian Irfan Bakti itu cukup cemerlang dengan aksi permainan yang cukup teratur untuk menafikan impian skuad Harimau Kumbang.

Hari ini tiada langsung dalam ruangan sukan berkaitan perlawanan Pulau Pinang menentang Felda United semalam, saya tidak pasti mungkin di akhbar lain yang ada menulis perlawanan ini.

Bermula seawal babak pertama perlawanan, Pulau Pinang nampak garang dengan melakukan serangan-serangan merbahaya ke arah gawang Felda United namun gagal menghasilkan gol . Peluang terbaik tiba pada minit ke-20 apabila hantaran Martias Cordoba tepat ke tiang gol kanan Felda United tetapi S Kumaahran gagal menendang masuk dan bola sekadar lolos keluar di kanan tiang gol.
Terkejut dengan asakkan pasukan tuan rumah, pelawat mula mengatur serangan dengan cukup tenang. Tidak tergesa-gesa menghantar bola kepada kawan dan akhir nya Francis Forkey Doe berjaya menjaringkan gol pertama buat Felda United pada minit ke-31 semasa keadaan kelam kabut dalam kotak penalti.

Serangan bertali arus Pulau Pinang tidak menampakkan sebarang hasil akibat ketidaksefahaman dan faktor lambat bertindak. Pemain Pulau Pinang terlambat membuat keputusan ketika sedang mengawal bola di kaki. Mereka juga kurang idea untuk melakukan aksi yang cemerlang semasa sedang melakukan serangan. Wisel babak pertama ditiubkan dengan keputusan Felda mendahului 1-0.

Bermula aksi kedua, aksi Pulau Pinang sedikit berubah setelah disuntik tonik oleh jurulatih Manzoor Azwira dan Pulau Pinang terus melancarkan serangan namun ketumpulan jentera serangan, Pulau Pinang masih buntu mencari gol penyamaan. Serangan banyak dilancarkan tetapi 'striker' yang ada seolah-olah langsung tidak punya sebarang idea dan mereka sekadar 'bermain bola' tanpa boleh memikirkan bagai cara untuk menjaringkan gol.

Melihat kepada kelemahan dan ketumpulan barisan penyerang Pulau Pinang yang gagal mencari gol, pelawat terus mengatur serangan yang hanya sekali sekala tetapi taktikal Irfan Bakti dan ketajaman pemain mereka amat dipuji dan akhirnya Felda United menambah derita Pulau Pinang dengan jaringan gol kedua hasil tandukan Hadin Azman berjaya menewaskan penjaga gawang Sani Anuar Kamsani pada minit ke-60.

Kedua-dua pasukan banyak membuat pertukaran pemain pada babak kedua perlawanan. Pulau Pinang memasukkan Osas Saha dan Syameel Kutty bagi mencari gol penyamaan manakala Felda United pula memasukkan Mohd Syukur Adan dan Firdaus Faudzi bagi menguatkan barisan pertahanan.

Serangan-serangan yang dilancarkan Pulau Pinang sekadar terhenti di luar kotak penalti akibat kegagalan jentera serangan mereka terlalu lama menyimpan bola selain tidak mampu bertindak pantas menghantar bola kepada kawan yang sedang menanti.

Larian pantas S Kumaahran dalam kotak penalti Felda United yang menerima bola hasil lorongan Raffiudin Roddin telah dibentes pertahanan Felda United dan menerima akibat apabila Pulau Pinang dihadiahkan sepakan penalti dan berjaya disempurnakan oleh pemain import Reinaldo Lobo pada minit ke-89.

Jaringan penalti tersebut telah menaikkan semangat pemain Pulau Pinang dengan  terus melancarkan serangan yang cukup jitu dan peluang hadir pada minit ke-91 apabila bola hantaran ke kotak penalti gagal ditanduk kemas oleh Osas Saha. Begitu juga pada minit ke 93 apabila Syameel Kutty sekali lagi gagal menolak kemas bola ke dalam gawang semasa berlaku kekalutan dalam kotak penalti Felda United.  S Kumaahran sekali lagi gagal menyempurnakan tugas didalam kotak penalti apabila bola lambungan Martias Cordoba yang sepatutnya di tanduk, namun tidak dilakukanya tetapi sebaliknya cuba melakukan aksi akrobatik yang menyebabkan bola melambung tinggi melepasi palang gol.
Tamat perlawanan berkesudahan dengan Pulau Pinang 1-2 Felda United dan Pulau Pinang secara rasminya tersingkir dari saingan Piala Malaysia 2016.

Pulau Pinang menamatkan saingan  Liga Super pusingan pertama dengan 1 kemenangan, 3 seri dan 7 kalah serta mengumpul 6 mata . Menghuni di tangga tercorot Liga Super di tempat ke-12.
Admin ingin memohon maaf kepada rakan-rakan kerana tidak dapat membuat komen terhadap kesebelasan pemain Pulau Pinang demi menjaga nama baik mereka dan tidak mahu melunturkan semangat setiap dari mereka.

Apa yang ingin admin perkatakan Pulau Pinang melakukan rombakan untuk mencari Striker yang tajam dan mampu menjaringkan gol. Apa gunanya kita melakukan seratus kali serangan tapi gagal jaringkan gol berbanding pihak lawan hanya lancarkan 5 kali serangan mampu hasilkan gol.
Dalam perlawanan bolasepak apa yang dalam fikiran penyokong adalah IStilah Menang.


No comments:

Post a Comment