})();

20 October 2013

Masih Belum Selesa Arsenal


LONDON - Kedudukan sebenar pendahulu Liga Perdana England akan dapat dilihat dengan jelas pada penghujung bulan November nanti.
Demikian jelas pengurus Arsenal, Arsene Wenger semalam.
Menurutnya, Arsenal masih belum mampu untuk berasa selesa walaupun sedang memegang tampuk liga setakat ini.
"Pasukan yang boleh dianggap sebagai pencabar liga musim ini, akan dapat dilihat selepas bulan November nanti," katanya.
The Gunners kini mendahului carta Liga Perdana, berkongsi 16 mata dengan Liverpool, namun dibezakan dengan kelebihan jaringan.
Anak-nak buah Wenger akan turun menentang Norwich City di Stadium Emirates malam ini.
Menjelang perlawanan tersebut, Arsenal sudah melupakan langkah sumbang ketika bermula dengan kekalahan kepada Aston Villa awal musim ini dan selepas kekalahan itu Arsenal terus bangkit mencatat kemenangan termasuk bermula cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah kenapa Wenger begitu berani menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan Arsenal semasa mesyuarat Agung Tahunan kelab itu minggu lalu.
Sebelum ini, pengurus kelahiran Perancis itu sering dipersoalkan tentang kemampuannya untuk mengendalikan kelab tersebut selepas beberapa nama besar seperti Robin van Persie dan Cesc Fabregas bertindak meninggalkan Emirates.
"Kami kini sedang menerajui carta Liga Perdana England, mengatasi pasukan-pasukan yang hebat tetapi penghujung November nanti akan diketahui siapa calon sebenar untuk menerajui liga musim ini.
"Saya yakin pada penghujung Mei, kami akan mendapat berita gembira," kata Wenger.
Tambah Wenger, beliau juga gembira kerana kelab itu berjaya keluar daripada masalah kewangan yang membelenggu mereka selama ini.
"Bagaimanapun, kami harus mempertahankan gaya permainan kami. Kami juga sentiasa menjaga aspek pembangunan pemain muda pasukan ini bagi menjamin masa depan Arsenal." - AFP - Kosmo.

No comments:

Post a Comment