})();

08 February 2013

Tak Perlu Malu



SEPANG - Tiada apa yang perlu dimalukan dengan kekalahan 0-2 kepada Qatar dalam Kelayakan Piala Asia 2015 di padang lawan kelmarin.

Di sebalik kekalahan tersebut, Harimau Malaya membuktikan mereka mampu memberikan saingan tanpa pemain tonggak.
Prestasi pemain membanggakan kerana mengikut taktikal permainan, di samping mampu bertahan dengan baik.

Demikian pandangan jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang berpuas hati dengan semangat juang anak-anak buahnya dalam perlawanan di Doha, kelmarin.

Beliau berharap pemain memperoleh keyakinan yang lebih baik bagi menempuh perlawanan berikutnya.

"Saya berpuas hati komitmen yang ditunjukkan semua pemain memandangkan kita berdepan sebuah pasukan yang kuat seperti Qatar tanpa pemain utama.
"Mengenai jaringan Qatar, faktor nasib membantu mereka, begitu juga gol kedua yang terlepas pada saat terakhir permainan.

"Saya bukan mahu berikan alasan tetapi jelas tahap persembahan kami mampu membuatkan rakyat berbangga dengan skuad Harimau Malaya kerana mereka mampu menyaingi lawan yang kuat seperti Qatar, " katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Biarpun mengikat Qatar tanpa jaringan pada babak pertama, kubu Harimau Malaya akhirnya roboh melalui sepakan percuma Khalfan Ibrahim pada minit ke-54 yang terkena benteng sebelum bola membias masuk ke dalam gawang sendiri.

Tuan rumah memperoleh gol kedua menerusi pemain gantian, Yusef Ahmad pada minit terakhir selepas menghukum kesilapan pertahanan negara, K. Reuben yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu gol.
Mengenai kesilapan jaringan kedua Qatar yang berpunca daripada Reuben, Rajagobal tidak menyalahkan pemain ATM itu.

"Kesilapannya bukan kerana faktor pengalaman namun dalam perlawanan, kesilapan sebegitu boleh terjadi kepada sesiapa.


"Semuanya berpunca apabila kita mahu mendapatkan gol penyamaan tetapi lawan berjaya melancarkan serangan balas apabila kita kehilangan bola.

"Dia (Reuben) cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tetapi tidak berapa tepat, " katanya.
Malaysia akan bertemu Yemen pada perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac ini di Stadium Shah Alam.

Skuad kebangsaan akan melengkapkan pusingan pertama aksi Kumpulan D menentang Bahrain pada 15 Oktober sekali lagi di tempat sendiri.

No comments:

Post a Comment