})();

04 February 2013

Misteri Belum Terjawab




PETALING JAYA - Punca kepulangan mengejut bintang muda bola sepak negara, Nazmi Faiz Mansor ke tanah air baru-baru ini masih belum terjawab.

Sidang akhbar yang diadakan bersama pasukan baharunya, PKNS FC semalam gagal merungkai persoalan mengapa dia meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, S.C Beira-Mar secara tiba-tiba.

Penjelasan yang dibuat Nazmi di sepanjang sidang media semalam mengecewakan, apabila penjelasannya langsung tidak menjawab persoalan pokok, mengapa dia meninggalkan kelabnya.

Lebih menghairankan adalah kekerapannya menoleh ke arah ejennya, Marco Guimaraes untuk dirujuk sebelum membalas soalan yang diajukan para pemberita, seolah-olah untuk 'bermain selamat'.
Tindak tanduknya bercanggah dengan kenyataannya bahawa 'keputusan yang dibuat adalah atas kehendak saya sendiri, bukan dipengaruhi sesiapa'.

Apabila diajukan soalan yang paling mahu diketahui iaitu mengapa dia berbuat demikian dan apakah langkah itu wajar untuk masa depannya, dia cuma membalas: "Ini bagus untuk masa depan saya dan tak ada apa pun yang boleh saya katakan pasal saya dan Beira Mar... saya akan buat yang terbaik di PKNS FC."

Untuk menjernihkan isu berhubung statusnya dengan Beira Mar, Nazmi berkata dia bukan lagi pemain kelab itu dan tidak akan kembali ke Portugal seperti yang dikhabarkan.

"Saya sudah dibebaskan oleh Beira Mar dan berita mengenai saya akan kembali ke sana selepas enam bulan, perkara itu tidak benar," jelas Nazmi.

Sekalipun menyifatkannya sebagai keputusan 'mengejut', Nazmi menegaskan keputusannya tepat setelah berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya dan ejennya, Marco.

"Pengalaman di Beira Mar menyeronokkan, tapi saya sendiri memilih jalan ini, Alhamdulillah, saya yakin ini keputusan terbaik untuk saya. Saya mendapat restu daripada ibu dan ayah dan mendapat nasihat ejen saya, Marco."

Kepulangan mengejut Nazmi selepas menamatkan kontrak bersama Beira Mar pada Khamis lalu menimbulkan seribu satu soalan termasuk apakah hubungannya dengan kelab Portugal itu terjejas.

Dalam hal ini Marco menjelaskan: "Kontrak ditamatkan secara persetujuan bersama kedua-dua belah pihak,
"Tiada masalah berlaku, Nazmi bermain dengan baik di situ, tetapi akhirnya keputusan terletak di tangan pemain dan kelab sendiri."

Nazmi turut meluahkan impiannya untuk beraksi di Eropah masih belum pudar.

"Peluang saya masih tidak tertutup lagi, usia saya masih muda dan saya ada banyak masa lagi. Semoga dengan usaha saya di PKNS akan membuat laluan baharu untuk saya kembali ke Eropah selepas ini. Kalau ada rezeki untuk ke luar negara lagi, kenapa tidak?"- Utusan

No comments:

Post a Comment