TAG - Liga Super 2021, Penang FC Champion ,EPL, Messi, Ronaldo,Covid-19
23 December 2012
Datuk Nicol Buru Juara
KUALA LUMPUR - Datuk Nicol David di ambang kejayaan merangkul mahkota skuasy Wanita Terbuka Dunia ketujuhnya selepas menempah tempat ke perlawanan akhir bertemu pemain No. 3 dunia, Laura Massaro dari England di Kepulauan Cayman, semalam.
Kemaraan tersebut bermakna pemain No. 1 dunia itu bakal tampil pada final ketujuh dalam lapan tahun, satu rekod baharu bagi kejohanan yang mempunyai sejarah sejak 1976 itu.
Pada separuh akhir, Nicol sekali lagi mengaibkan Jenny Duncalf iaitu lawan yang ditewaskan dengan mudah pada final di Belanda tahun lalu.
Nicol memerlukan hanya 37 minit untuk mengetepikan Duncalf dalam straight set 11-7, 11-4, 11-2.
Set pembukaan berlangsung sengit menyaksikan Nicol memimpin perlawanan dengan jurang rapat 5-4 dan 8-7 sebelum meningkatkan rentaknya untuk memungut tiga mata berturut-turut dan memenanginya.
Dua set berikutnya jelas milik Nicol tatkala lawannya, Duncalf mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan.
"Jenny mempamerkan beberapa pukulan hebat di permulaan, saya tidak dapat menjangka di mana hala tuju bola sementara diri saya pula gagal bermain seperti kebiasaannya.
"Saya terpaksa meningkatkan tahap permainan untuk cuba menyaingi Jenny, mujur saya berjaya mengawal kembali permainan pada penghujung set pertama dan membina keyakinan untuk set seterusnya," kata Nicol.
Mengenai final dan pertembungan dengan Massaro yang pernah menewaskannya dua kali tahun lalu, jelasnya: "Perasaan saya sungguh menakjubkan untuk beraksi dalam satu lagi final di sini (Kepulauan Cayman), lebih lebih lagi Terbuka Dunia!.
"Laura dan saya masing-masing sedar kami perlu bermain jauh lebih baik untuk esok, pertarungan kami berdua patut sengit."
Massaro mengecapi final pertamanya setelah mengerah segala kudrat untuk membenam pemain No. 2 dunia, Raneem El Weleily dari Mesir 5-11, 11-9, 12-14, 11-4, 13-11 dalam tempoh 69 minit.
Kedua-dua pemain pernah bertemu sembilan kali tetapi rekod memihak Nicol dengan kelebihan 7-2. -Utusan
No comments:
Post a Comment