TAG - Liga Super 2021, Penang FC Champion ,EPL, Messi, Ronaldo,Covid-19
12 November 2012
SIC terima Anugerah DORNA
KUALA LUMPUR - Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2012 yang mencatat kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah perlumbaan, dipilih oleh Dorna untuk menerima anugerah Kejohanan MotoGP terbaik tahun ini.
Dianjur dan dipromosikan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 19-21 Oktober lalu, GP Malaysia menjadi perlumbaan ke-16 daripada 18 pusingan dalam kalendar kejuaraan dunia, yang berakhir dengan GP Valencia di Sepanyol, semalam.
Pemilihan GP Malaysia untuk anugerah Dorna itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, yang sangat teruja dengan pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai rangsangan untuk mereka memperbaiki penganjuran akan datang.
Dalam reaksi semalam, Razlan berkata: "Dikurniakan anugerah Kejuaraan MotoGP terbaik tahun ini sangat istimewa dan satu penghormatan buat Malaysia selepas 22 tahun menganjurkan perlumbaan ini.
"Ia juga satu pengiktirafan kepada SIC yang membangunkan kejohanan dengan agresif sejak 2009. Kehadiran pelumba Malaysia pada kejuaraan dunia juga banyak menyumbang kepada kejayaan ini," katanya lagi, merujuk kepada kehadiran Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang beraksi dalam kejuaraan Moto3.
Zulfahmi merupakan produk yang dilahirkan menerusi program wildcard GP SIC. Ia adalah program yang mendapat sokongan kuat Dorna, pemegang hak MotoGP. Dorna terus memberi sokongannya sehingga hari ini untuk membolehkan pelumba muda negara itu beraksi buat tahun ketiga.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada FIM, Dorna dan IRTA atas anugerah ini. Kami akan terus mempertingkatkan penganjuran pada masa-masa akan datang.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada seluruh pasukan SIC atas sumbangan dan dedikasi berpanjangan mereka ke arah perlumbaan ini kerana tanpa kerja berpasukan, kami tidak dapat mengelolakan dan mendapat pengiktirafan," kata Razlan lagi, yang bagaimanapun tidak dapat hadir ke majlis anugerah tahunan, yang secara tradisi diadakan di Valencia bersama dengan penyampaian trofi kejuaraan dunia.
Penunggang Sepanyol, Jorge Lorenzo dinobat sebagai juara MotoGP dunia buat kali kedua, manakala rakan senegaranya, Marc Marques, yang bakal mencabar kelas utama pada musim depan muncul juara Moto2 buat kali pertama. Gelaran Moto3 pula milik pelumba Jerman, Sandro Cortese.
GP Malaysia 2012 berjaya menarik kehadiran 77,000 pada hari perlumbaan. Sepanjang tiga kejohanan, ia mencecah 125,000 penonton meskipun keadaan cuaca tidak menentu.
Dengan ketiadaan Razlan, anugerah tersebut akan diterima oleh Zulfahmi bagi pihak SIC.- Utusan
Tahniah Malaysia....
No comments:
Post a Comment