TAG - Liga Super 2021, Penang FC Champion ,EPL, Messi, Ronaldo,Covid-19
08 November 2012
Piala Suzuki AFF- Apa sudah jadi
KUALA LUMPUR - Kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF bulan ini kian diragui apabila ditundukkan Thailand 0-2 dalam perlawanan persahabatan di Bangkok, semalam iaitu kekalahan kedua dalam tempoh empat hari.
Sesudah tersungkur 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, Sabtu lalu, apa lagi alasan Datuk K. Rajagobal kali ini selepas kecundang pula dengan jaringan tuan rumah menerusi Prayat Bunya dan Arthit Suthornphit pada minit ke-26 dan ke-81 di Stadium Muang Thong.
Prayat menanduk jaringan sulung Thailand ketika penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias cuba meluru untuk menangkap umpanan bola sepakan sudut dari sebelah kanan manakala Arthit meledakkan gol dengan rembatan kaki kiri dari jarak lebih 30 meter.
Kedua-dua pasukan turut terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain tuan rumah, Adul Lahsoh dan bek tengah pelawat, Aidil Zafuan Radzak mendapat kad kuning kedua dan dibuang padang dalam babak kedua.
Malaysia menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Farizal, Bunyamin Umar, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Shakir Shaari, Gary Steven Robbat, Azamuddin Akil, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Safee Sali selaku ketua pasukan.
Enam pertukaran pemain turut dilakukan Rajagobal dengan memasukkan Ahmad Fakri Saarani, Zaquan Adha Radzak, Khyril Muhymeen Zambri, R. Gopinathan, Baddrol Bakhtiar dan Mahalli Jasuli tetapi masih gagal mengubah nasib pasukannya.
Tiga percubaan terbaik Malaysia menerusi rembatan jauh Shakir dan Baddrol serta tandukan jarak dekat Ahmad Fakri yang mendapat umpanan lintang Gopinathan pada minit ke-70, 74 dan 90 pula sempat dinafikan oleh penjaga gol Thailand.
Sementara itu, kekalahan 0-1 kepada Vietnam pada perlawanan Sabtu lepas, menyebabkan kedudukan skuad bola sepak negara dalam ranking FIFA jatuh satu anak tangga pada kedudukan ke-163 dalam senarai terbaru yang dikeluarkan semalam.
No comments:
Post a Comment