})();

30 November 2012

Biasiswa Lumayan Untuk Pandalela


PETALING JAYA - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong wajar menjadi inspirasi buat para atlet muda kebangsaan bukan sahaja dari segi pencapaian sukan tetapi juga dalam bidang akademik.


Pemenang pingat gangsa Olimpik itu diumum sebagai penerima sulung 'Skim Biasiswa Sukan Olimpian UM' lumayan bernilai lebih RM80,000 bagi tempoh pengajian selama dua tahun setengah (September 2012-Februari 2015), pada majlis Malam Anugerah Sukan dan Rekreasi Universiti Malaya (UM) 2012 di Hotel Eastin di sini, malam tadi.


"Kegembiraan saya adalah tidak terkata. Selama ini memang saya ada mengidam ditawarkan biasiswa supaya tidak perlu ibu-bapa menanggung kos pengajian saya... Akhirnya impian menjadi kenyataan.


"Saya mungkin tidak seperti mereka yang lain, yang lazimnya ditawarkan biasiswa kerana kecemerlangan dalam akademik, namun saya tetap berbangga untuk menerimanya sebagai seorang atlet sukan.


"Saya berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran, saya berazam untuk berjaya juga dalam akademik sebagaimana dalam sukan terjun," katanya yang ditemui semalam.


Melalui skim yang julung kali diperkenalkan itu, Pandelela akan menikmati pengecualian yuran pengajian dan penginapan di samping elaun sara hidup dan latihan yang bernilai RM30,000 setiap tahun.


Skim tersebut bertujuan memberi galakan kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan serta berpotensi besar dalam akademik.


Tawaran biasiswa itu bagaimanapun eksklusif hanya kepada atlet yang berjaya memenangi pingat Sukan Olimpik dan menuntut di UM.


Serentak majlis malam semalam, UM turut menubuhkan 'Tabung Pandelela Olimpian UM' dengan objektif untuk menjaga kebajikan atlet Olimpik itu agar dapat mengikuti latihan dan sukan yang diceburi tanpa mengabaikan aktiviti pembelajaran dan seterusnya merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi.


UM difahamkan telah memperuntukkan RM25,000 sebagai permulaan, namun sumbangan dan tajaan daripada syarikat swasta, agensi kerajaan, kerajaan negeri, kementerian dan individu adalah dialu-alukan bagi mengukuhkan lagi dana itu.


Turut berlangsung, penyampaian 12 anugerah yang menyaksikan Bryan Nickson Lomas dinobatkan selaku Olahragawan UM manakala Olahragawati jatuh kepada pemain badminton, Daphne Ng.

No comments:

Post a Comment